Agong kurnia sumbangan baiki masjid, surau

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan RM10,000 dan RM5,000 kepada masjid serta surau yang mengalami kerosakan akibat banjir di Pahang, Januari lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Dr Zulkifle Ali berkata, pihaknya menjunjung kasih di atas kurniaan sumbangan itu.

“Saya dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan sumbangan membaiki masjid berjumlah RM10,000, manakala surau pula RM5,000 yang mengalami kerosakan akibat banjir,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan al-Quran dan Yasin di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Pada majlis itu, 8,000 naskhah al-Quran dan surah Yasin berjaya dikumpul dalam tempoh 10 hari hasil inisiatif Kelab Kembara Al-Falah (KKAF) melalui sumbangan orang ramai, termasuk ahli jemaah Masjid Al-Falah Sungai Isap Dua dan Masjid Al-Mubarak Sungai Isap Jaya, di sini.

Menurut Dr Zulkifle, sebanyak 55 masjid dan 33 surau mengalami kerosakan akibat bencana banjir itu, dengan kerosakan dibaiki dengan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kerajaan negeri.

“Jumlah anggaran peruntukan untuk membaiki kerosakan belum diterima dan pelaksanaan kerja akan ditentukan Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KKAF, Abdul Rahim Othman berkata, kelab itu mengambil inisiatif mengumpulkan sumbangan al-Quran dan surah Yasin daripada orang ramai selepas aktiviti turun padang yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, idea timbul untuk mengganti kalam Allah yang rosak akibat banjir lalu.

Sumber: My Metro