KUALA LUMPUR- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat, khususnya di negeri-negeri pantai timur, Johor dan Sabah, bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku episod banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan memaklumkan, titah nasihat Seri Paduka Baginda itu susulan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan yang akan dialami beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Januari 2022 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia kelmarin.
“Baginda turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir, juga peka terhadap ramalan dan amaran yang telah dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan.
“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Menzahirkan keprihatinan tinggi terhadap kemaslahatan rakyat, Seri Paduka Baginda turut menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana bencana banjir sebelum ini untuk membaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya segala urusan pasca banjir.
“Seri Paduka Baginda menasihati agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.
“Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan yang terancang, operasi-operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka yang berada di kawasan berkepadatan tinggi dan juga pedalaman, dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
“Baginda turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di laman facebook rasmi beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dengan amaran hujan berterusan (waspada) peringkat kuning yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Teruskan berjaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa,” tulisnya.
Sumber: TRDI News