PEKAN: Keceriaan jelas terpancar di raut wajah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Kampung Serambi, Pekan hari ini sejurus menerima keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan tiga anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah turut kelihatan menyantuni penduduk kampung berkenaan dengan bertanya khabar.
Lebih istimewa Seri Paduka Berdua turut meluangkan masa menemani penduduk berkenaan menikmati juadah tengah hari di pusat pemindahan yang menempatkan kira-kira 100 mangsa banjir itu.
Dalam lawatan berkenaan, Seri Paduka Berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada penduduk yang terjejas bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.
Selain Kampung Serambi, baginda turut menyantuni mangsa banjir di Kampung Tanjong Medang, Kampung Acheh, Kampung Temai, Kampung Padang Rumbia, Kampung Pulau Rumput dan Kampung Paloh Hinai.
Sementara itu, Robiani Bakar,56, berkata kunjungan baginda sekeluarga menghilangkan rasa sedihnya yang kematian anak akibat kanser esofagus dua tahun lalu.
“Selepas kematian anak sulung saya, hari-hari tanpa gagal saya mesti ziarah kubur arwah, sampai menghidap pelbagai penyakit sehingga saya strok. Alhamdulillah, lega dan hilang rasa sedih, baginda berdua amat baik dan pesan supaya saya jaga kesihatan…saya amat tersentuh dan terharu, memang saya tak jangka baginda akan duduk dan berborak di meja kami,” katanya kepada Bernama.
Bagi Nur Aniza Md Jan,35, harapan beliau untuk bertemu baginda akhirnya menjadi kenyataan apabila dapat bersemuka dengan keluarga diraja itu secara nyata serta terharu dengan keprihatinan Al-Sultan Abdullah.
“Macam tak percaya selalu saya tengok baginda berdua di Facebook dan media sosial lain tapi hari ini ada depan mata saya, baginda sempat bertanya usia kandungan saya sekarang dan pesan supaya jaga diri dan anak baik-baik,” katanya yang dijangka melahirkan cahaya mata ketiga pada bulan depan.
Sumber: Astro Awani