Agong, Permaisuri zahir penghargaan kepada UK atas sumbangan vaksin AZ

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan United Kingdom (UK) atas sumbangan 415,000 dos vaksin AstraZeneca (AZ) kepada Malaysia hari ini.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini juga memaklumkan Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk mendepani cabaran pandemik dan menuju ke arah pemulihan.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick),” menurut hantaran itu.

Menjunjung titah Seri Paduka, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin turut menyampaikan ucapan terima kasih Baginda kepada Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia Charles Hay atas sumbangan itu.

Sementara itu, Seri Paduka berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Pick Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama antara kerajaan kedua-dua negara dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin terbabit.

“Seri Paduka berdua turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” menurut hantaran itu.

Sumber: My Metro