Agong Sempurnakan Misi Kemanusiaan Ops Ihsan Ke Gaza

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SEPANG: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan bantuan kemanusiaan Ops Ihsan untuk rakyat Palestin di Gaza di I-Secure, MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin.

Seri Paduka Baginda tiba di KLIA sekitar jam 11.50 pagi, dan disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri-menteri Kabinet, serta pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari.

Ahmad Zahid, dalam ucapannya berkata, beliau mewakili seluruh rakyat Malaysia menjunjung kasih atas keprihatinan Agong, dan Raja Permaisuri Agong yang mendalam terhadap situasi kemanusiaan di Gaza.

Katanya lagi, keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua merupakan cerminan semangat kemanusiaan Malaysia ke atas kesengsaraan yang sedang membadai rakyat Palestin.

“Patik dan seluruh rakyat jelata menjunjung kasih Titah Tuanku yang menzahirkan rasa dukacita dan kesal atas tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto, menolak Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata antara rejim Zionis Israel terhadap Palestin baru-baru ini.

“Titah Tuanku jelas menunjukkan Malaysia amat bimbang dengan krisis kemanusiaan yang dahsyat di Gaza, dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersatu padu dalam memastikan tercapainya keamanan dan

kedamaian,” katanya lagi.

Penerbangan bantuan kemanusiaan tersebut menggunakan pesawat A330-200 Mas Kargo, melibatkan muatan barangan sebanyak 60 tan yang terdiri daripada 35.57 tan barangan perubatan, 6.62 tan makanan sedia dimakan, 4.35 tan barangan keperluan bayi dan 13.46 tan persiapan musim sejuk termasuk tilam, selimut dan kit wanita.

Barangan-barangan tersebut merupakan sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuk barangan perubatan sebanyak 20.3 tan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bayaran sewaan penerbangan kargo itu menggunakan dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Ia akan berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada awal pagi 19 Disember 2023, dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Tentera Al-Arish di Mesir pada hari yang sama.

Dalam pada itu Timbalan Perdana Menteri berkata, Ops Ihsan merupakan satu kolaborasi unik dan usaha kerjasama antara Kementerian Luar Negeri dan lebih daripada 50 NGO.

“Ops Ihsan yang diwujudkan ini telah membuktikan keberkesanan pengurusannya, dengan menguruskan serta menggunakan sumber dan kepakaran pelbagai organisasi yang terlibat secara tersusun dan efisien.

“Jemaah Menteri semasa mesyuarat Kabinet pada 6 Disember 2023 pula, telah menyambut baik kolaborasi pelbagai agensi Kerajaan dengan NGO ini, dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada Palestin,” katanya lagi

Ahmad Zahid berkata kerjasama yang julung kali diadakan ini ternyata berhasil, dan berjaya mengelakkan pertindihan mahupun penyelewengan bagi memastikan bantuan yang diberikan jelas memenuhi keperluan, dan benar-benar sampai kepada pihak yang disasarkan.

– AWANI