Agong Titah Perhebat Bendung Aktiviti Jenayah, Sama-Sama Jaga Kedaulatan Negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan, khususnya agensi penguatkuasaan memperhebat usaha membendung aktiviti jenayah penyeludupan dadah dan bahan terlarang, pendatang tanpa izin serta pencerobohan sempadan negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Mejar Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata Seri Paduka turut menyeru rakyat untuk bersama-sama memainkan peranan dan mempunyai kesedaran serta tanggungjawab membantu kerajaan dan agensi penguatkuasaan dalam membendung kegiatan jenayah sama ada di sempadan negara atau di kawasan masing-masing.

“Ini adalah kerana kerajaan tidak boleh bertolak ansur terhadap soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga kedaulatan negara sentiasa dipelihara dan negara serta rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahari  berkata Al-Sultan Abdullah selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut  menzahirkan ucapan tahniah kepada ATM atas kejayaan menumpaskan sindiket penyeludupan daun ketum di Kuala Nerang, Kedah.

Seri Paduka bertitah bahawa ketangkasan dan kecekapan anggota pasukan Operasi Tentera Darat ATM itu dalam melaksanakan amanah dan tugas sewajarnya dihargai dan diberi pujian.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan sokongan dan penghargaan terhadap usaha-usaha baik serta tindakan tegas kerajaan dan agensi penguatkuasaan berkaitan dalam membanteras jenayah rentas sempadan dan sindiket jenayah terancang di sempadan negara,” menurut kenyataan itu.

Kira-kira satu tan bahan itu dengan nilai RM38,000 yang dipercayai cuba diseludup keluar sebuah kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran Thailand, berjaya dirampas Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) ketika melakukan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand, Rabu lepas.

  • BERNAMA