Ahli arkeologi Mesir temui kota peninggalan Firaun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Kredit: Unsplash

Ahli arkeologi menemui tinggalan sebuah kota purba di padang pasir di luar Luxor, yang juga penemuan terbesar pernah disaksikan di Mesir.

Penemuan kota emas yang dibangunkan ketika zaman kegemilangan Firaun 3,000 tahun lalu itu diumumkan oleh pakar arkeologi terkenal Mesir, Dr Zahi Hawass.

Pasukan penggalian tapak arkeologi itu, dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan kota lama itu ditemui berhampiran Luxor iaitu Valley of the Kings (Lembah Raja), yang menyimpan pelbagai lagenda pemerintah Firaun.

“Pasukan arkeologi di bawah Hawass menemui kota ini semalam, tertimbus di bawah pasir.

“Ia berusia sekitar 3,000 tahun, berasal dari era pemerintahan Amenhotel III dan terus digunakan oleh Tutankhamun dan Ay,” kata pasukan penggalian itu.

Profesior Seni dan Arkeologi Mesir di Unversiti Johns Hopkins, Betsy Bryan, berkata ia adalah penemuan arkeologi kedua terpenting kedua selepas penemuan makan Tutankhamun hampir satu abad lalu.

“Banyak misi arkeologi asing cuba mencari kota tetapi tidak pernah menemukannya,” kata Hawass yang juga bekas Menteri Antikuiti Mesir.

Pasukan Hawass memulakan pencarian pada September 2020, di lokasi antara kuil Ramses III dan Amenhotep III dekat Luxor, kira-kira 500 kilometer (km) di selatan Kaherah.

Dalam tempoh beberapa minggu, mereka dikejutkan dengan penemuan struktur batu bata di pelbagai arah, membentuk sebuah kota besar yang masih berkeadaan baik.

Struktur temboknya hampir lengkap dan ruangan dipenuhi dengan alatan yang diperlukan dalam kehidupan seharian.

Selepas penggalian selama tujuh bulan, beberapa kawasan kejiranan ditemui termasuk sebuah kedai roti yang lengkap dengan ketuhar dan bekas simpanan tembikar selain pusat pentadbiran dan kediaman.

Menurut kenyataan pasukan penggalian, lapisan arkeologi yang dijumpai masih terpelihara selama ribuan tahun seolah-olah ia baru saja ditinggalkan oleh penduduk purba.

Penemuan kota lama yang begitu lengkap itu dijangka memberi sekilas pandangan mengenai kehidupan orang Mesir purba pada masa mereka berada di puncak kegemilangan dan kekayaan.

Pasukan penggalian juga yakin akan menemui lebih banyak khazanah dan sudah pun menemui kawasan makam yang dihubungkan oleh tangga yang diukir pada bongkah batu, sama seperti di Lembah Raja. – AGENSI