Ahli politik, pasangan tidak guna khidmat nikah sindiket

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Ahli politik Kelantan bergelar Datuk yang melangsungkan pernikahan dengan isteri ketiga secara dalam talian, tidak menggunakan khidmat sindiket perkahwinan di sempadan.

Sebaliknya, Naib Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, pasangan itu menggunakan khidmat seorang imam yang juga ahli jawatankuasa majlis.

Katanya, upacara akad nikah itu bagaimanapun tidak diluluskan majlis di wilayah Thailand terbabit.

“Kami masih lagi menyiasat perkara ini dan belum dapat berhubung dengan imam itu lagi kerana beliau tidak sihat.

“Ini adalah kes terpencil dan kami percaya imam berkenaan mempunyai alasan tersendiri kenapa terbabit dalam pernikahan itu.

“Kita tunggu dia sihat dan akan mendapatkan maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, acara akad nikah dalam talian itu adalah yang pertama mengaitkan jurunikah di wilayah itu, tahun ini.

Beliau juga percaya sindiket perkahwinan sempadan tidak beroperasi, susulan larangan rentas negara akibat Covid-19.

Menurutnya, pihaknya akan memaklumkan semua imam dan jurunikah di bawahnya mengenai polisi pernikahan terkini ketika tempoh pandemik, bagi mengelak kejadian sama berulang.

Difahamkan, imam itu yang berusia lingkungan 50-an sudah bertugas di sebuah masjid di Sungai Golok, lebih dua tahun.

Pernikahan ahli politik Kelantan itu yang juga Timbalan Menteri dan pasangannya dikatakan berlangsung 1 Jun lalu dan tular di media sosial baru-baru ini.

Sumber: My Metro