Kuala Lumpur: Usianya baru sembilan tahun namun hasil seni contengannya atau ‘doodle’ nampak kemas sehingga menarik perhatian warganet yang melihatnya di media sosial.
Tidak hairanlah jika bapanya, Ahmad Farid Ashraf Yusof, 37, memberi kebenaran kepada si cilik ini, Ainnur Sofea, 9, untuk menconteng keretanya.
Proses melukis seni ‘doodle’ pada kereta keluarganya itu dirakam bapanya dan dimuatnaik di Facebook sebagai perkongsian.
Siapa sangka perkongsian itu tular dan rata-rata warganet mengagumi bakat dimiliki Ainnur Sofea walaupun masih muda.
Ahmad Farid Ashraf yang juga juruteknik komputer berkata, kereta miliknya itu sebenarnya adalah kenderaan kedua yang digunakan isteri, Khairul Muna Radzi, 37, untuk dipandu ke tempat kerja.
“Kereta itu selalu berjemur sehingga cat pada kereta itu kusam. Kereta itu juga pernah dilanggar di bahagian bonet.
“Mulanya saya hanya mahu menampal stiker pada bahagian bonet itu namun rasa lebih baik menghasilkan lukisan doodle supaya nampak lebih menarik,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dia yang juga pelukis sambilan berkata, aktiviti melukis ‘doodle’ pada kereta itu dilakukannya bersama Ainnur Sofea dan anak pertamanya, Ahmad Adam Ashraf, 11, pada 14 Januari lalu.
“Lukisan dan cat yang pertama saya hasilkan tahun lalu sudah pudar disebabkan selalu cuci kereta dan berjemur panas.
“Kebetulan Perintah Kawalan Pergerakan pada Khamis lalu, saya tidak boleh bekerja dan mengajak Sofea bersama-sama mengecat semula dan menambah ‘doodle’ di bahagian depan dan belakang kereta,” katanya.
Menceritakan bakat dimiliki Ainnur Sofea, Ahmad Farid Ashraf berkata, anaknya mula melukis pada usia tiga tahun.
“Apabila dapat sahaja pensel dan kertas di tangan pasti dia akan mula melukis. Pada usia lima tahun pula, dia sudah mula melukis berdasarkan imaginasinya.
“Kebanyakan lukisannya adalah watak dari kartun dan komik. Lukisan jadi hobinya kerana saya dan isteri tidak terlalu mendedahkan pada gajet,” katanya yang menetap di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Menurutnya, dia berharap perkongsiannya di Facebook memberi nilai positif kepada semua ibu bapa.
“Alhamdulillah, saya tumpang bangga hasil kerja anak saya jadi tatapan warganet. Saya harap ibu bapa tidak memandang seni itu sampah dan dianggap vandalisme apabila dibuat pada benda lain selain kertas dan kanvas.
“Saya juga tiada halangan kalau bidang seni yang menjadi pilihannya pada masa depan tetapi Sofea ada beritahu dia mahu jadi veterinar suatu hari nanti kerana suka bermain dengan kucing,” katanya.
Sumber: My Metro