Air Keruh di Tasik Kenyir Bukan Sebab Pembalakan – Ahmad Samsuri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Isu air berkeladak di Tasik Kenyir adalah disebabkan hujan lebat dan tiada kena-mengena dengan pembalakan, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Justeru, katanya, semua pihak dinasihatkan agar tidak terkeliru dengan punca yang menyebabkan air tasik di Hulu Terengganu itu menjadi keruh, sama ada ia akibat pembalakan ataupun kesan hujan lebat yang membawa aliran air dari bukit.

Beliau berkata semua aktiviti berkaitan perhutanan dan pembalakan mempunyai syarat-syarat khusus termasuk penentuan jarak bersesuaian antara kawasan pembalakan dengan gigi air.

“Langkah itu diambil menjadi syarat untuk memastikan tiada pencemaran akibat daripada pembalakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan akhbar hari ini yang mendakwa Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir ‘indah khabar dari rupa’ kerana air keruh dan berkeladak, dipercayai berpunca daripada kegiatan pembalakan di kawasan berhampiran.

Menurut Ahmad Samsuri, beliau sendiri telah melakukan tinjauan di kawasan Tasik Kenyir dari udara dan mendapati memang terdapat kawasan yang berlaku runtuhan tanah, namun ia tidak berkait dengan aktiviti pembalakan.

“Kalau masih ingat apa yang berlaku baru-baru ini, dalam kes dilihat kayu balak yang jatuh akibat banjir, ada pihak kata sebab pembalakan, sedangkan selepas tinjauan didapati bukan sebab pembalakan tapi runtuhan bukit yang bawa sekali pokok kayu.

“Kita sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Hutan untuk melihat apa isu terbaru,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri sudah bersedia untuk menghadapi banjir semasa monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh yang dijangka bermula November ini.

Katanya, Isnin lepas kerajaan negeri telah menerima peruntukan dan aset tertentu daripada peringkat pusat dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Kita sentiasa bersedia dengan apa juga (keadaan) dan berdoa supaya tahun ini tidak seperti tahun sebelum ini yang mengalami banjir buruk,” katanya.

Sumber : BERNAMA