RAMAI yang menganggap seseorang itu mengeluarkan air mata adalah kerana gangguan emosi tetapi sebenarnya ia juga berfungsi sebagai menyuburkan dan melindungi mata.
Tanpa kita sedari manusia dapat menghasilkan sekitar 100 liter air mata setahun dan semuanya mengandungi air, lipid, lisozim, lipocalin, glukosa dan natrium.
Ketahuilah bahawa menangis atau mengeluarkan air mata ini sememangnya ada manfaat termasuk tujuan kesihatan mahupun ketenangan fikiran.
Berikut ini adalah tiga jenis air mata dan fakta menarik mengenainya yang jarang diketahui;
1. Air mata basal
Air mata basal merupakan air mata yang terhasil sepanjang masa bagi tujuan membersihkan dan melindungi mata.
Air mata ini akan jatuh secara berterusan dalam jumlah yang kecil bagi membersihkan debu dan mengelakkan mata daripada terkena jangkitan bakteria.
Tidak perlu pelik atau risau sekiranya air mata anda kadang kala mengalir secara tiba-tiba. Adakalanya, ia berfungsi untuk memastikan ketajaman visual mata.
2. Air mata refleks (pantulan)
Air mata refleksi (pantulan) terjadi disebabkan kegatalan atau ada benda asing yang masuk ke dalam mata.
Selain itu, air mata jenis ini juga boleh terjadi disebabkan oleh kepedihan mata kerana terdedah kepada bawang, cili, minyak wangi dan lain-lain.
Bukan itu sahaja, air mata refleks juga mudah mengalir sekiranya anda makan makanan yang panas atau pedas.
3. Air mata emosi
Air mata yang mengalir deras berlaku ketika seseorang menangis. Ini merupakan jenis air mata yang terkait dengan emosi seperti menahan sedih, sakit, marah dan sebagainya.
Tetapi saat anda berasa bahagia, ketawa atau berasa terharu juga boleh menyebabkan air mata ini mengalir. Paling penting air mata jenis ini dapat membantu seseorang menghilangkan tekanan.
Sumber: mStar