Air Pasang Besar: Penduduk Terengganu Diingat Waspada

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Orang ramai khususnya penduduk yang tinggal di kawasan berisiko diminta bersedia dengan fenomena air pasang besar dan hujan lebat yang diramal bermula Jumaat kerana ia boleh menyebabkan banjir.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, kemuncak air pasang besar dijangka berlaku pada 5 dan 6 Disember dengan ketinggian ombak mencecah 3.7 meter.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di kawasan rendah dan mudah dinaiki air agar berpindah lebih awal ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika diminta berbuat demikian bagi mengelak bahaya serta memudahkan pasukan penyelamat.

“Kalau mengikut JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) pada bulan Disember ini dijangka hampir 1,000 mm hujan masih belum turun yang berkemungkinan akan menyebabkan banjir di tempat-tempat rendah.

“Oleh itu saya harap mereka yang tinggal di kawasan berisiko bersiap sedia dan berpindah segera. Jika bertembung dengan hujan lebat, air lebih banyak dan boleh sebabkan banjir.

“Bila ada air pastikan keluar dari rumah dan segera ke PPS, jangan ada lagi yang tinggal atau duduk sampai atas bumbung baru hubungi pasukan penyelamat terutama waktu malam kerana ia boleh mengundang bahaya,” katanya pada Khamis.

Hanafiah turut mengingatkan orang ramai supaya hentikan sementara aktiviti riadah dan berkelah di pantai, sungai dan air terjun sepanjang musim Monsun Timur Laut kerana hujan lebat boleh menyebabkan kepala air serta bencana lain.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu berkata, semua agensi terlibat telah melakukan persiapan bagi menghadapi banjir termasuk petugas, bekalan makanan dan PPS bagi menempatkan mangsa banjir.

Jelas beliau, kerajaan turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di semua PPS bagi mengelak jangkitan Covid-19.
“Antaranya penyediaan bilik isolasi di PPS bagi menempatkan mangsa bergejala dan jika melibatkan masalah kesihatan lebih serius, mereka akan dihantar ke hospital,” katanya.

Sumber: SINAR HARIAN