MARANG – “Kita yakin sebaik pelatih menamatkan latihan empat bulan di sini, mereka boleh membaca dengan lancar surah Yasin dan al-Mulk serta doa-doa yang ditetapkan.
“Modul latihan kerohanian yang disediakan kepada pelatih bagi membolehkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melahirkan anggota yang berintegriti tinggi,” kata Pegawai Latihan, Akademi Bomba Wilayah Timur, Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Zulkifli Che Noh.
Bagaimanapun Zulkifli berkata, modul latihan tambahan itu bukanlah syarat wajib untuk lulus latihan sebaliknya merupakan latihan tambahan disediakan akademi kepada pelatih.
Katanya, modul kerohanian di akademi ini sudah bermula sejak beberapa tahun lalu. Ia juga bukan syarat masuk yang ditetapkan bomba.
“Modul pula sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa dan kita yakin pelatih tidak akan mempunyai masalah untuk lulus,” katanya, hari ini.
Zulkifli berkata, selain wajib manunaikan solat secara berjemaah dan mengikuti kelas fiqh ibadat, pelatih juga perlu mengikuti kursus pengurusan jenazah, kursus sembelihan dan kursus pra perkahwinan.
Katanya pelatih yang lulus akan dipertimbangkan untuk anugerah pelatih terbaik.
Semalam, menerusi catatan di Facebooknya, Zulkifli mengucapkan selamat datang kepada 700 pelatih ke Akademi Bomba Wilayah Timur serta menyenaraikan item modul kerohanian yang wajib diikuti pelatih sepanjang empat bulan menjalani latihan.
Sumber: HARIAN METRO