Akademi Villarreal Malaysia Dilancarkan Ogos Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Peluang untuk menimba pengalaman di Sepanyol terus terbuka luas buat pemain di negara ini selepas kelab La Liga, Villarreal bakal melancarkan akademi mereka di Kuala Lumpur pada Ogos ini.

Akademi Villarreal Malaysia itu bakal memberi peluang kepada pemain seawal usia tiga tahun sehingga 21 tahun dengan 20 kakitangan kejurulatihan mampu mengendalikan lebih 400 pemain.

Villarreal dalam satu kenyataan menjelaskan pemain muda Malaysia akan menjalani latihan berdasarkan metodologi bola sepak Eropah selain berpeluang ke Sepanyol untuk berlatih mahupun menyertai perlawanan persahabatan menentang akademi lain.

“Kami mahu menubuhkan Akademi Villarreal Malaysia sebagai program pembangunan terbaik di negara ini.

“Misi kami adalah untuk menjadi seinklusif mungkin dan menawarkan program kepada semua orang dan menanamkan rasa cinta terhadap bola sepak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Villarreal Malaysia, Massimo Giannelli.

Pengarah urusan akademi itu, Jonathan Abishegam berkata program terbabit adalah untuk semua termasuklah kepada pemain lelaki mahupun wanita.

“Sama ada mereka mahukan program rekreasi untuk bermain bersama rakan atau pemain muda yang berhasrat untuk beraksi di Eropah, mereka akan beroleh peluang itu di sini,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN