Akauntan Kilang Rugi RM64,100 Pelaburan Tidak Wujud

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Seorang akauntan kilang mengalami kerugian sebanyak RM64,100 selepas terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan skim pelaburan berkenaan selepas melihat iklan dalam aplikasi Instagram pada 21 Februari lalu, ketika berada di rumahnya, di Taman KSM Mentakab, Temerloh.

Beliau berkata, mangsa kemudian berhubung dengan suspek, seorang lelaki melalui WhatsApp. Suspek menyediakan gambar rajah sistem pelaburan yang ditawarkan termasuk keuntungan bakal diraih.

Katanya, mangsa terpedaya apabila dimaklumkan oleh suspek, akan menerima keuntungan lumayan dalam masa singkat sekiranya mangsa segera membuat pembayaran.

“Mangsa kemudian bertindak mengikut setiap arahan suspek tanpa berfikir panjang dengan membuat tujuh transaksi ke dalam akaun milik individu yang berbeza dan jumlah keseluruhan sebanyak RM64,100,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya lagi, mangsa mulai curiga dengan skim pelaburan yang telah disertai dan bertindak untuk meminta suspek memulangkan semula wang pelaburan yang telah dibayar.

Mohd Wazir berkata, suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran RM30,000 bagi proses untuk mendapatkan semula wang pelaburan yang telah dibayar, mangsa enggan berbuat demikian.

Katanya, mangsa mendapati laman sesawang yang berdaftar atas namanya telah disekat, mangsa berasa tertipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Sumber: BERITA HARIAN