KOTA BHARU: Kuih tradisional akok kedut Kelantan antara pemanis yang menjadi sajian di bulan Ramadan.
Akok bersaiz besar, kecil dan leper banyak dijual sama ada di pasar atau gerai di tepi jalan.
Biasanya pembuatan akok dikuasai oleh kaum wanita sama ada yang berusia atau pertengahan umur.
Namun, kebiasaan ini sudah berubah apabila anak muda lepasan institusi pengajian tinggi menceburi pembuatan dan penjualan akok di tepi jalan.
Mohd Syamil Mohd Syukri, 26 tahun, terlibat dalam pembuatan dan penjualan akok versi moden dikenali Akok Pok Long sejak lebih setahun lalu.
“Kelainan Akok Pok Long, yang pertama adalah resipi dan adunan sendiri iaitu kita ketengahkan rasa manisan itu, lemak manis, kurang hanyir telur dan kedua pembakaran, kita guna cara baharu yang masih belum ada dalam industri akok dan menggunakan kaedah baru.
“Dia boleh buat banyak kedut dan menambah rasa garing,” katanya.
Apa yang dibanggakan selepas setahun menjual dan mengusahakan akok kedut ini adalah kejayaannya membuka dua cawangan dan mempunyai 20 orang pekerja.
Katanya, pekerjanya merupakan anak muda lepasan ijazah, diploma atau sedang menunggu keputusan.
Permintaan akok kedutnya meningkat pada bulan Ramadan dengan jualan lebih 5,000 biji.
Kaedah pembungkusan dan pembuatannya tersusun bahkan penjualan di musim Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) melalui cara pandu lalu.
Selain itu, beliau juga mengambil tempahan dan penghantaran jika pesanan dibuat melalui dalam talian.
Sumber: AWANI