Aksi Belgium-Sweden Ditangguh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BRUSSELS: Aksi kelayakan Euro 2024 antara Belgium dengan Sweden ditangguh ketika rehat dan peminat dikekalkan dalam stadium kerana faktor keselamatan selepas dua warga Sweden maut ditembak dalam satu serangan di Brussels awal pagi tadi.

Penonton di Stadium King Baudouin di ibu kota Belgium itu diberitahu supaya kekal berada di stadium susulan pengumuman pemain tidak akan masuk ke padang bagi aksi separuh masa kedua.

“Berikutan serangan pengganas yang disyaki di Brussels malam ini, selepas berunding dengan kedua-dua pasukan dan pihak berkuasa polis tempatan, diputuskan aksi kelayakan Euro 2024 antara Belgium dan Sweden ditangguh,” kata UEFA dalam laman sesawangnya.

Persatuan bola sepak Sweden berkata, polis Belgium memberitahu penyokong “supaya kekal berada di arena itu kerana alasan keselamatan.”

Dua warga Sweden ditembak mati oleh seorang suspek yang masih bebas, dalam serangan yang disifatkan oleh Perdana Menteri Belgium sebagai “keganasan.

Beberapa media Belgium menyatakan, dua individu yang terbunuh itu menyarung jersi pasukan kebangsaan Sweden.

“Kami bersimpati dengan semua saudara-mara mereka yang terbabit di Brussels,” menurut kenyataan media FA Sweden dalam media sosial.

Akaun pasukan kebangsaan Belgium pula menyatakan: “Kami mengucapkan takziah kepada mereka yang terjejas.”

Belgium, yang sudah layak ke kejohanan di Jerman tahun depan, menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Romelu Lukaku selepas Viktor Gyokeres membuka jaringan untuk Sweden sebelum perlawanan dihentikan dengan kedudukan terikat 1-1.

Media Belgium melaporkan pemain Sweden tidak mahu meneruskan perlawanan selepas mengetahui mengenai serangan itu. – AFP