Aksi Piala Malaysia Ditunda

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Saingan Piala Malaysia yang sepatutnya membuka tirai pada 16 hingga 18 Oktober ini ditunda kepada 25 dan 26 Oktober, umum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, hari ini.

Berikutan itu, katanya, majlis undian saingan yang dijadualkan pada 12 Oktober turut ditunda pada 19 Oktober.

Mengesahkan perkembangan itu, beliau berkata kejohanan paling tertua di Asia Tenggara itu terpaksa ditunda susulan pindaan jadual perlawanan membabitkan aksi terakhir Liga Super.

“MFL meminda tarikh perlawanan membabitkan Sabah dan UiTM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu disebabkan Kota Kinabalu sudah diisytihar zon merah COVID-19. Venue perlawanan juga akan dimaklumkan nanti berikutan Kota Kinabalu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pindaan turut membabitkan aksi antara Perak menentang Kedah dan Terengganu FC (TFC) menentang Pahang berdasarkan faktor perebutan tempat kedua Liga Super dan perlawanan menentukan kedudukan bagi undian Piala Malaysia.

“Perlawanan Perak menentang Kedah dan TFC bertemu Pahang yang sebelum ini dijadualkan pada 10 Oktober (Sabtu) akan dipinda pada 11 Oktober (Ahad). Pihak Sekretariat MFL sedang mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan bagi penjadualan semula dan tarikh itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat sebelum undian Piala Malaysia.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan keadaan semasa COVID-19 yang sedang meningkat dan MFL berprihatin kepada permasalahan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, format Piala Malaysia tahun ini terpaksa dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

Sumber:Berita Harian