LONDON – Leeds United dan Chelsea bertembung di Elland Road malam ini dengan kedua-dua pasukan masih belum kalah dalam dua aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2022-23 setakat ini.
Bagaimanapun, kelab Yorkshire dan barat London itu kedua-duanya bersalah kerana gagal mempertahankan gol pendahuluan dalam aksi terakhir mereka sebelum ini, sesuatu yang menyuntik motivasi menjelang aksi hari ini.
Ketika ketua jurulatih Thomas Tuchel pantas memuji persembahan Chelsea menentang Tottenham Hotspur hujung minggu lalu, pengendali dari Jerman itu jelas kecewa dengan beberapa peluang keemasan yang gagal disudahkan pasukannya.
The Blues tidaklah mencipta terlalu banyak peluang namun mereka sebenarnya cukup untuk memenangi perlawanan itu sebelum Harry Kane meledak gol penyamaan pada saat akhir dalam suasana penuh kontroversi.
Percakaran antara Tuchel dengan Antonio Conte menjadi bualan ramai selepas perlawanan itu dengan Tuchel didenda dan tidak dapat memberikan arahan dari tepi padang malam ini susulan kad merah diterimanya.
Bagaimanapun, Tuchel dan anak buahnya patut berpuas hati dengan permulaan kempen mereka, apatah lagi mereka berdepan beberapa perlawanan sukar pada awal musim.
Tuchel pastinya mahukan gol daripada pemain serangan di Elland Road dengan jaringan mereka setakat ini hadir menerusi penalti, sepakan sudut dan penamat bergaya pemain pertahanan kiri Reece James.
Daripada perspektif Leeds, Jesse Marsch agak berkecamuk fikirannya menjelang aksi itu selepas menyaksikan pasukannya mendahului dua gol di Southampton namun hanya mampu pulang dengan satu mata.
Mereka semakin hampir mengakhiri hujung minggu itu sebagai satu daripada tiga pasukan dengan rekod 100 peratus hinggalah The Saints menjaringkan dua gol dalam 18 minit terakhir di St Mary’s.
Namun begitu, seperti Chelsea, Marsch dan Leeds sepatutnya gembira dengan permulaan mereka selepas bergelut untuk mengelak terjerumus ke Liga Kejuaraan pada musim 2021-22.
Impian mereka bagaimanapun lebih besar kali ini dengan Marsch membuat sedikit penambahan pemain sekalipun beliau lebih teruja untuk menurunkan bekas pemain akademi Chelsea, Patrick Bamford yang banyak menghabiskan masa di tepi padang.
Begitupun, Rodrigo Moreno sekali lagi menggunakan peluangnya hujung minggu lalu apabila pemain Sepanyol itu menyumbat dua gol selepas rehat bagi mengumpul tiga gol dalam hanya 155 minit aksi di tengah padang.
Pemain tengah Perancis, N’Golo Kante dijangka diketepikan selama beberapa minggu selepas mengalami kecederaan hamstring menentang Spurs.
Ketika Mateo Kovacic turut diketepikan susulan masalah lutut, sama ada Ruben Loftus-Cheek atau Conor Gallagher akan tampil mengemudi bahagian tengah Chelsea.
Cesar Azpilicueta mungkin kembali membentuk tiga pemain pertahanan bagi membolehkan James kembali dengan peranan sebagai wing-back, namun Kai Havertz dijangka kekal sebagai penyerang dengan Armando Broja terlepas aksi itu kerana isu kecergasan.
Sementara itu, Bamford berasakan dia akan terlepas perlawanan malam ini dengan kecederaan pangkal paha sekalipun penyerang itu membayangkan dia boleh kembali beraksi sebelum hujung bulan ini.
Sumber : BERITA HARIAN