Aksi Terakhir Amri Malam Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengumumkan pertemuan Sang Badak dengan Kedah Darul Aman malam ini akan menjadi perlawanan terakhir buat pemain senior, Mohd Amri Yahyah.

Pemain berusia 42 tahun berasal dari Tanjung Karang, Selangor itu, katanya mengambil keputusan untuk bersara daripada arena bola sepak profesional selepas perlawanan malam ini.

“Amri Yahyah akan bersara daripada bola sepak profesional. Dia adalah seorang pemain yang cukup berpengalaman dan saya percaya dengan adanya Amri, pasti para penyokong boleh memberikan sesuatu.

“Ia penting bukan saja pasal Amri tetapi kita inginkan penyokong untuk membantu kita memberi motivasi lebih kepada pemain apabila berlawan dengan Kedah,” kata Kim Swee.

Bekas pemain kebangsaan dari tahun 2004 hingga 2017 yang mula bersama Sabah pada tahun 2021 itu banyak membantu skuad Sang Badak melakar kemenangan dalam perlawanan yang disertainya, khususnya dalam saingan Liga Super.

Dia berkhidmat paling lama bersama Selangor – dari tahun 2001 hingga 2013, sebelum berhijrah ke selatan untuk menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dari tahun 2014 hingga 2016.

Amri kemudian menyertai Melaka United buat seketika pada tahun 2017, sebelum kembali bersama Selangor hingga tahun 2019 dan seterusnya ke Sarawak United pada tahun 2020.

Sementara itu, Kim Swee mengakui pertemuan dengan Kedah Darul Aman FC dalam aksi akhir Liga Super 2023, di Stadium Likas, malam ini bukan perlawanan yang mudah.

Beliau turut mengakui pasukan dari utara Semenanjung itu memiliki kekuatan tersendiri untuk mempertahankan kedudukan di tangga ketiga liga.

Bagaimanapun, Kim Swee tetap meletakkan harapan supaya Sang Badak dapat mempamerkan persembahan lebih baik berbanding ketika menentang PSM Makassar dalam saingan akhir Kumpulan H, Piala AFC, Khamis lalu.

“Penting untuk perlawanan ini di mana kita akan bermain dalam perlawanan terakhir bagi menentukan tempat ketiga dan keempat.

“Saya percaya ia bukan satu perlawanan yang mudah. Kita tahu pasukan Kedah juga mempunyai kekuatan, tapi saya harap kita berada dalam keadaan yang lebih baik, tidak seperti yang kita lalui dengan Makassar,” katanya.

– BERITA HARIAN