Aktivis Wanita Arab Saudi Dibebaskan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seorang aktivis wanita terkemuka Arab Saudi, Loujain al-Hathloul dibebaskan selepas menjalani hukuman lebih 1,000 hari di penjara.  

Lapor CNN, Loujain, 31, ditahan pada Mei 2018 bersama sejumlah aktivis lain sebelum kerajaan negara ini menarik balik larangan memandu terhadap wanita.     

Loujain memberitahu keluarganya bahawa dia telah diseksa dan dianiayai secara seksual ketika berada dalam penjara.

Penahanan Loujain dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia global.

Dalam pada itu, keluarga Loujain dalam satu kenyataan memaklumkan, pada Disember lalu, Mahkamah Jenayah Khas Riyadh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan lapan bulan terhadap aktivis itu.

Mahkamah turut menangguhkan hukuman selama dua tahun dan 10 bulan dan keputusan tersebut membuka jalan kepada pembebasan Loujain yang sudah ditahan sebelum itu.

Jelas kenyataan itu, Loujain masih dilarang melakukan perjalanan ke luar negara selama lima tahun.

“Kami berasa gembira dengan pembebasan Loujain tetapi perjuangan untuk keadilan belum berakhir lagi.

“Sebarang pembebasan yang tidak melibatkan siasatan bebas terhadap tuduhan, memansuhkan larangan perjalanan dan menggugurkan tuduhan bukan bermakna kebebasan sebenar,” kata abang wanita tersebut, Walid al-Hathloul kepada CNN.

Berdasarkan kertas tuduhan yang didedahkan oleh keluarganya pada awal Disember lalu, Loujain disabitkan atas tuduhan mengancam keselamatan negara, berusaha mengubah sistem politik negara dan menggunakan pengaruhnya dengan kerajaan asing dan kumpulan aktivis untuk memberi tekanan kepada Arab Saudi mengubah sistem dan undang-undang.