Aktiviti Air Dilarang di Pantai Tok Bali, Bisikan Bayu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Puteh menaikkan bendera merah pada Ahad bagi melarang sebarang aktiviti air dilakukan di Pantai Tok Bali dan Bisikan Bayu di sini.

Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, larangan tersebut selari dengan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada Jumaat berhubung angin kencang dan laut bergelora susulan Monsun Timur Laut.

“Ketika ini tiupan angin mencecah kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam menyebabkan ombak setinggi 3.5 hingga 4.5 meter.

“Situasi itu boleh mendatangkan bahaya kepada aktiviti di gigi air dan kawasan pesisir pantai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, selain pemasangan bendera merah, pihaknya juga turut melakukan rondaan berkala di kawasan pesisir pantai berkenaan bagi mengelakkan orang ramai melakukan aktiviti air.

Ujarnya, aktiviti mandi-manda, menangkap ikan dan sebagainya ditegah sepanjang Monsun Timur Laut.

Nik Mohd Nor berkata, kesemua aktiviti itu boleh mendedahkan orang ramai kepada bahaya lemas.

“Sekiranya berdepan bahaya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik sebaliknya terus menghubungi pusat kawalan APM di Pantai Tok Bali atau talian kecemasan 999 untuk bantuan,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN