Pada masa dahulu, kota Naisabur antara pusat kegiatan ilmu yang cukup terkenal sama seperti kota Baghdad dan kota Dimasyq. Kini, kota Naisabur berada dalam negara Iran. Dahulunya kota Naisabur merupakan kota ilmu bagi golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Dalam kitab Tarikh Naisabur, Imam al-Hakim an-Naisaburi (wafat 405H) merekodkan 1,375 tokoh ilmuwan yang pernah tinggal atau singgah di kota Naisabur. Bilangan ini ditambah oleh Abd al-Ghafir al-Farisi (wafat 529H) dalam kitab Zail Tarikh Naisabur sehingga mencecah 1,699 orang tokoh.
Antara tokoh penting dari kota ini ialah Imam al-Baihaqi. Nama penuh beliau adalah Abu Bakr Ahmad bin al-Husain bin Ali bin Abdullah al-Baihaqi. Al-Baihaqi merupakan seorang tokoh ulama mazhab Syafie tersohor dan mahir dalam pelbagai bidang ilmu seperti ilmu hadis, fiqah, usul serta akidah.
Beliau lahir pada 384H di Khusraujird, sebuah kampung dalam daerah Baihaq. Beliau mengembara dari Baihaq ke pelbagai daerah Islam yang lain seperti Khurasan, Baghdad, Kufah dan Hijjaz untuk mencari ilmu
Pada zaman itu, Imam al-Baihaqi telah berguru dengan ramai alim ulama. Jumlah keseluruhan mereka kira-kira 230 syeikh. Imam al-Hakim an-Naisaburi merupakan seorang guru kepada Imam al-Baihaqi dan beliau memberi pengaruh besar terhadap Imam al-Baihaqi dalam bidang hadis.
Imam al-Baihaqi tekun mempelajari perbagai ilmu pengetahuan dalam tempoh yang cukup panjang. Setelah hampir 30 tahun di perantauan, beliau akhirnya kembali semula ke tempat asalnya iaitu daerah Baihaq.
Masyarakat mula mengenali namanya sehingga dijemput oleh ulama untuk datang ke kota Naisabur bagi mengajar dan menyebarkan ilmunya. Selain mengajar, beliau turut aktif menghasilkan pelbagai karya. Bilangan karyanya dikatakan mencecah hampir 1,000 juzuk. Judul karyanya yang diketahui setakat ini adalah sekitar 50 judul.
Keluasan ilmu Imam al-Baihaqi cukup luar biasa sehingga al-Hafiz az-Zahabi menyebut dalam Siyar A’lam an-Nubala’: “Kalau al-Baihaqi mahu membuat mazhab sendiri dan berijtihad padanya, nescaya beliau mampu berbuat demikian kerana keluasan ilmunya dan penguasaannya tentang perselisihan pendapat para ulama.”
Namun, beliau tetap berpegang kepada mazhab Imam as-Syafie (wafat 204H) sehingga menjadi pengumpul ilmu dan penyebar mazhabnya yang terkenal.
Sumbangan beliau cukup besar terhadap mazhab Syafie sehingga Imam al-Haramain al-Juwaini (wafat 478H) berkata: “Tidak ada seorang pun pengikut as-Syafie melainkan as-Syafie memiliki jasa kepadanya kecuali al-Baihaqi. Maka, dia yang memiliki jasa kepada as-Syafie disebabkan karya beliau yang bertujuan membela mazhabnya dan pandangannya.”
Sanjungan tinggi ini antaranya adalah berdasarkan kepakaran Imam al-Baihaqi dalam bidang hadis, terutama daripada aspek al-‘ilal (kecacatan hadis), al-jarh wa at-ta’dil (penilaian terhadap kredibiliti perawi hadis) dan mukhtalif al-hadith (percanggahan antara hadis).
Kitab agungnya, al-Sunan al-Kubra menghimpunkan semua hadis yang menjadi dalil dalam mazhab Syafie. Ia mengandungi sebanyak 21,844 hadis dan athar yang dihimpunkan daripada lebih 180 syeikh. Menurut Imam Ibn as-Solah (wafat 643H): “Sesungguhnya kami tidak tahu ada kitab yang seumpama itu dalam babnya.”
Al-Baihaqi turut mengarang sebuah mukadimah bagi kitab itu secara berasingan yang diberi judul Al-Madkhal ila as-Sunan al-Kubra. Kitab tersebut menjelaskan kepentingan ilmu dan adabnya.
Dalam memberi respons balas terhadap kritikan Imam at-Tahawi al-Hanafi (wafat 321H) terhadap mazhab Syafie, al-Baihaqi menyusun kitab Ma’rifat al-Sunan wa al-Athar yang menghimpunkan semua perkara berkaitan Imam as-Syafie termasuk dalil hadis, athar, ijtihad dan pelbagai pandangan beliau.
Antara karya lain al-Baihaqi berkaitan Imam as-Syafie ialah kitab Ahkam al-Quran yang menghimpunkan penjelasan Imam as-Syafie mengenai ayat hukum, kitab Bayan Khata’ Man Akhta’a ‘ala as-Syafi’i yang membela ijtihad Imam as-Syafie, al-Khilafiyyat yang menghimpunkan masalah fiqah yang diperselisihkan antara mazhab Hanafi dan mazhab Syafie, serta kitab Manaqib al-Imam as-Syafi’i yang mengumpulkan biografinya secara lengkap.
Imam al-Baihaqi meninggal dunia pada 458H pada usia 74 tahun. Jenazahnya dimakamkan di kampung halamannya, Khusraujird.
Sumber: HARIAN METRO