Algeria Taja 10 Pelajar Cemerlang Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
sumber foto: UPDI

KUALA TERENGGANU – Sepuluh pelajar cemerlang dari Terengganu terpilih untuk menerima tajaan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di dua universiti di Algeria, yang akan menyaksikan yuran pengajian mereka ditanggung oleh negara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat berkata tawaran penempatan lima pelajar di Universiti Amer Abdul Qader, Constantine, telah diterima dari Kementerian Pengajian Tinggi Algeria melalui Duta Besar Algeria, dan ia telah dipanjangkan kepada Kementerian Luar Negeri.

Beliau berkata baki tawaran lima tempat di Universiti Algiers 1 diperoleh susulan lawatan kerja yang diketuainya ke negara berkenaan baru-baru ini, dan menurutnya surat tawaran pengajian akan dikeluarkan dalam masa terdekat bersesuaian dengan jadual kemasukan pelajar tempatan Algeria pada September depan.

“Proses penghantaran pelajar dilakukan melalui Pusat Bahasa Arab Terengganu (PBAT), Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Dalam masa sama, Yayasan Terengganu juga akan mendapatkan pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terhadap kursus pengajian di dua universiti berkenaan bagi memudahkan sebarang tajaan atau pemberian pinjaman kepada pelajar lain pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: BERNAMA