KUALA TERENGGANU: Atlet Muay Thai meningkat naik, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib meluahkan perasaan kecewa selepas impiannya untuk membantu kontinjen negara merangkul pingat emas dalam temasya Sukan Sea di Kemboja pada Mei depan berkecai selepas sukan itu tidak dipertandingkan tuan rumah.
Malah lebih menambah kekecewaan atlet berusia 19 tahun itu apabila dia baharu mengetahuinya pada bulan lalu ketika giat menjalani latihan di Bangkok, Thailand.
Bagaimanapun anak kepada legenda tinju negara, Rakib Ahmad itu tidak sesekali patah semangat, sebaliknya dia terus tekun menjalani latihan dalam sukan tempur itu biarpun sedar impiannya untuk mengutip pingat emas kedua peribadinya dalam pentas sukan Asia Tenggara itu sudah tertutup rapat.
“Jika ditanya perasaan, sudah pasti saya begitu kecewa lebih-lebih lagi impian untuk mengulangi pencapaian meraih pingat emas kedua dalam Sukan Sea selepas kali pertama ‘bertarung’ di Vietnam pada tahun lalu berkecai.
“Lagipun saya baharu tahu pada bulan Februari lalu mengenai sukan ini tidak dipertandingkan tuan rumah, saya difahamkan penganjur menukar nama dengan sukan kun khmer.
“Bagaimanapun ianya tidak mematahkan semangat saya, sebaliknya saya akan terus berusaha meningkatkan lagi kualiti dan teknik sebelum menyertai Kejohanan One Championship Lumpinee pada bulan depan di Bangkok, Thailand.
“Dalam pertandingan yang dijangka berlangsung pada bulan Ramadan itu, saya menyasarkan pingat emas walaupun sedar atlet tuan rumah bakal menjadi pencabar utama,” katanya yang kini berada di Bangkok menjalani latihan dengan kelab Sor.Dechapant.
Berdasarkan rekod, Aliff merangkul pingat emas acara elit kategori bawah 54 kilogram (kg) pada Sukan Sea ke-31 di Gimnasium Bac Ninh, Hanoi, Vietnam musim lalu selepas menumpaskan peserta tuan rumah, Huynh Hoang Phi dengan keputusan 30-27 pada aksi final.
Atlet yang sudah lima tahun berguru di Bangkok itu juga pernah merangkul gelaran juara dunia bawah 23 tahun kategori 54 kg di Abu Dhabi pada 2022 dengan menumpaskan atlet Iran, Mehrdad Khanzadeh Gharehtapeh dan pingat emas bawah 17 tahun kategori 51kg pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Bangkok pada 2022.
Sumber: METRO HARIAN