KUALA LUMPUR – Aliran trafik menghala ke ibu negara tinggi di Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sejak jam 5 pagi tadi, namun pergerakan kenderaan masih lancar di beberapa plaza tol utama di laluan berkenaan.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui laman Twitter hari ini, memaklumkan aliran trafik di lebuh raya itu turut mulai sesak seawal jam 3 pagi ini.
Pada jam 7.33 pagi, trafik masih lancar di sepanjang lebuh raya PLUS termasuk lokasi di sekitar plaza tol utama seperti Juru, Sungai Dua, Sungai Besi dan Skudai.
Aliran trafik turut tinggi di laluan arah selatan di Ipoh Selatan-Hentian Simpang Pulai dan Hentian Ladang Bikam ke Sungkai.
Begitu juga dilaporkan trafik tinggi di arah selatan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang-R&R Sungai Perak, Ipoh Selatan-Hentian Simpang Pulai dan Hentian Ladang Bikam–Slim River.
Selain itu berlaku kemalangan jam 9 pagi tadi di beberapa lokasi sekitar hingga mengakibatkan kesesakan sehingga tiga ke lima kilometer.
Terdapat kemalangan kereta dan lori di laluan Pagoh-Yong Peng yang menyebabkan lorong kiri dan kecemasan terhalang serta trafik sesak sepanjang 3.3 kilometer (km) arah selatan.
Kemalangan juga berlaku di laluan Tapah-Gopeng iaitu di KM 308.5 arah utara dan menyebabkan lorong kanan terhalang serta trafik sesak di ke dua-dua arah.
Sementara itu, di laluan pantai timur, trafik masih berjalan lancar.
Trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak masih lancar termasuk lokasi di sekitar plaza tol utama seperti Gombak, Bentong, Karak dan Kuala Terengganu.
Trafik di laluan utama semua lebuh raya bertol di Lembah Klang pula masih lancar.
Sumber: BERITA HARIAN