Alumni Abidin menyampaikan infaq kepada 200 orang pelajar asnaf

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Seramai 200 orang pelajar menerima infaq daripada Persatuan alumni pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) di sini, pagi semalam.

Yang Dipertua Abidin, Tan Sri Dato’ Prof. Dr. Mohd Yusof Haji Md. Noor berkata 200 orang pelajar ini dipilih daripada tiga buah sekolah iaitu 60 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) Ladang, 60 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Khairiah dan 80 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) Batu Buruk.

“Kita telah mendapat sambutan yang baik daripada dermawan lain untuk terlibat membantu mereka yang asnaf belajar di zainal abidin ini dan kita tidak nafikan bahawa sekolah-sekolah lain yang bukan bernama sekolah zainal abidin bukannya tidak ada pelajar asnaf tetapi ini adalah amanah yang telah diberikan kepada kita.

“Amanah itu satu kewajipan yang mesti kita laksanakan kerana diantara kerabat sultan zainal abidin ada yang telah mewakafkan sebahagian daripada harta mereka untuk membantu pelajar miskin di sekolah zainal abidin dan juga sekolah khairiah yang menjadi rakan kembar kepada zainal abidin,” katanya ketika ditemu bual di dewan terbuka jabatan hal ehwal agama terengganu.

Persatuan alumni ini telah mendapat sumbangan daripada wang wakaf konsensi chenderong akaun Tg. Nik Maimunah yang berjumlah RM30,000 yang diberikan oleh MAIDAM dan juga sumbangan daripada zakat PTPTN yang berjumlah RM10,000.

“Setiap 200 orang pelajar ini akan mendapat RM200 setiap seorang di mana RM100 akan diberikan secara tunai dan lagi RM100 akan dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),” tambahnya lagi.

Terdahulu, persatuan alumni ini juga turut memberikan infaq kepada 24 orang pelajar yang yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran berjumlah RM300 untuk setiap pelajar dan enam orang berkempimpinan daripada tiga buah sekolah ini turut diberikan yang berjumlah RM200 setiap seorang.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Timbalan Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Haji Muda Mamat, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Daisuki Majid dan Setiausaha Abidin, Dato’ Haji Hashim Mamat.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM