KOTA BHARU: Kemerduan bacaan al-Quran yang dialunkan oleh seorang lelaki kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sebuah surau di kampung halamannya menjentik hati pemuda dari suku kaum Temiar ini untuk memeluk Islam pada November tahun lalu.
Sari Seli, 23, yang berasal dari Kampung Kuala Wok, Gua Musang, berkata pada ketika itu dia dalam perjalanan dari rumahnya untuk ke kedai membeli barang, namun langkahnya terhenti apabila terdengar alunan bacaan ayat suci al-Quran seorang lelaki dari dalam surau.
Katanya, selepas seminggu berfikir, dia akhirnya nekad berjumpa dengan lelaki itu serta menyuarakan hasrat memeluk Islam dan melafazkan dua kalimah syahadah di hadapannya.
“Sebaik melafazkan dua kalimah syahadah, hati saya berasa tenang dan terus pulang ke rumah untuk memberitahu ibu, Leha Awang, 35, bahawa saya sudah memeluk agama Islam.
“Kini di dalam keluarga, hanya saya dan ibu beragama Islam manakala adik-beradik yang lain menganuti agama Kristian. Namun saya sering berdoa supaya mereka juga memperoleh hidayah dan terbuka hati memeluk Islam suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA), Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan, di Kok Lanas, di sini.
Anak kelima daripada lapan beradik ini berkata, kecintaannya terhadap Islam semakin bertambah setiap kali mendengar laungan azan dan dia pasti akan berhenti bagi menghayatinya kerana jiwa berasa tenang.
“Selepas empat bulan memeluk Islam, saya mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah kilang membaiki kereta di Pulau Pinang dan pulang ke Kelantan untuk belajar mengenai Islam di Pondok Pengajian Islam (PPI) di Kok Lanas, Kota Bharu.
“Sebelum memeluk Islam, saya dapat merasakan hidup ini terlalu kosong sehingga terdetik di hati dan terfikir sampai bila akan terus menjalani kehidupan seperti ini yang seolah-olah tidak mempunyai tujuan,” katanya.
Sari berkata, tahun ini adalah pengalaman kali pertama dia menjalani ibadah puasa dan mengerjakan solat tarawih.
“Sudah lama saya menunggu untuk berpuasa serta bertarawih dan peluang kali pertama ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk membuktikan saya mampu menjadi Muslim sejati serta patuh kepada suruhan Yang Maha Esa,” katanya.
Katanya, dia bersyukur kerana impian memeluk Islam kini menjadi kenyataan walaupun pengetahuan agama masih cetek dan memerlukan lebih banyak bimbingan.
“Saya yakin dengan keimanan sahaja dapat menjadi pendorong untuk melakukan semua tuntutan agama seperti solat, berpuasa dan membaca al-Quran.
“Kini saya masih lagi belajar buku Iqra dan Alhamdulillah mendapat pertolongan daripada rakan dan guru di sini untuk membaca al-Quran,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN