Amalan Cium Tangan Orang Alim, Apa Hukumnya Dalam Islam?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kita sering melihat jemaah masjid atau di majlis ilmu akan mencium tangan orang soleh, alim dan seumpamanya sebagai tanda menghormati mereka.

Tetapi apa sebenarnya hukum perbuatan mencium tangan di sisi Islam?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, al-Nawawi ada menyebutkan bahawa disunatkan untuk mencium tangan orang soleh, alim dan seumpamanya dalam kalangan ahli akhirat.

Manakala mencium tangan seseorang kerana kekayaan, keduniaan atau kedudukannya pula, hukumnya adalah makruh. Begitulah juga al-Buhuti mengharuskan untuk mencium tangan dan kepala sebagai tanda merendah diri, menghormati dan memuliakan seseorang dengan syarat jauh daripada syahwat.

Zulkifli memberitahu, disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa harus hukumnya mencium tangan orang alim yang warak, pemerintah yang adil, kedua ibu bapa, para guru dan semua orang yang berhak untuk dihormati dan dimuliakan.

Begitulah juga diharuskan untuk mencium kepala, dahi dan (kedudukan) antara dua mata mereka. Akan tetapi perkara tersebut dibolehkan sekiranya dengan tujuan untuk menghormati, memuliakan dan merendah diri, ketika bertemu dan berpisah serta jauh daripada syahwat.

Sahabat Mencium Tangan Baginda SAW

Terdapat riwayat menyebutkan bahawa para sahabat R.A mencium tangan Rasulullah SAW. Antaranya daripada Usamah bin Syarik, beliau berkata: (Maksudnya): “Kami bangun pergi kepada Nabi SAW, lalu mencium tangan Baginda.”

Begitu juga riwayat daripada Zari‘ bin ‘Amir, beliau berkata: (Maksudnya): “Tatkala kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun daripada tunggangan kami, kemudian kami mencium tangan Nabi SAW dan kaki Baginda.”

Selain itu, riwayat daripada Ibn Umar, beliau berkata: (Maksudnya): “Kami mencium tangan Nabi SAW.” Terdapat juga riwayat yang menyebutkan bahawa para sahabat R.A mencium tangan sesama mereka. Antaranya daripada Tamim bin Salamah, katanya: 

(Maksudnya): “Ketika Umar R.A tiba di Syam, Abu ‘Ubaidah al-Jarrah R.A menyambutnya dan mencium tangannya. Kemudian kedua-duanya berlalu sambil menangis.”

Tambahan lagi, diriwayatkan bahawa Thabit R.A pernah mencium tangan Anas bin Malik R.A dan Ali R.A juga pernah mencium tangan atau kaki al-‘Abbas R.A.

Sumber: MSTAR