KOTA BHARU – Sukarelawan dan individu yang terlibat dengan kerja pasca banjir diminta supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan alat pelindung diri seperti but, pelitup muka dan sarung tangan getah ketika melakukan pembersihan banjir lumpur.
Pensyarah Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain berkata, ia bertujuan bagi mengelak penyakit berjangkit merebak kepada orang lain.
“Jika mengalami demam, cirit birit, muntah dan sebagainya, dapatkan rawatan segera,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dr Nik Rosmawati berkata, banjir merupakan bencana alam yang tidak dapat dielakkan dan sememangnya sering berlaku apabila tiba musim tengkujuh. Banjir bukan sahaja menyebabkan penularan penyakit berjangkit, namun ianya juga boleh menyebabkan kehilangan harta benda dan boleh menyebabkan kematian.
Katanya, kesan paling buruk adalah kesihatan mangsa banjir disebabkan penyakit berjangkit mudah merebak ketika dan selepas bencana melanda.
Menurutnya, banjir menyebabkan sampah sarap dan takungan air najis keluar bersama-sama limpahan air dan bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit kepada manusia.
“Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak ketika dan selepas banjir adalah jangkitan pernafasan akut, sakit mata, leptospirosis, meliodosis, cirit-birit, hepatitis A, taun atau kolera, demam kepialu, keracunan makanan, demam denggi, jangkitan kulit, demam campak, penyakit kaki tangan dan mulut (HMFD), malaria serta cacar.
“Selain itu, gejala penyakit bawaan air atau makanan yang kerap berlaku ketika dan selepas banjir adalah seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala. Ini disebabkan penyakit ini berjangkit melalui minuman atau makanan yang dicemari oleh kuman dan mudah berjangkit,” katanya.
Beliau berkata, penyakit leptospirosis boleh berjangkit kepada mangsa banjir melalui sentuhan dengan air yang dicemari dengan air kencing mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya yang telah dijangkiti oleh bakteria Leptospira.
“Antara simptom penyakit leptospirosis adalah seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman.
“Bagi mengelak penyakit ini, beberapa langkah pencegahan perlu diamalkan antaranya sentiasa memastikan kebersihan persekitaran rumah, sentiasa menutup makanan supaya dihindari tikus, selalu mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri dan jangan bermain air banjir atau lopak air terutamanya selepas banjir.
“Selain itu, jika terdapat sebarang luka pada anggota badan, segera cuci dan balut luka tersebut dengan sempurna supaya tidak terdedah dengan air banjir,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Nik Rosmawati berkata, masyarakat juga dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan sumber air yang bersih dan selamat.
“Selain itu, kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air yang bersih, minum air yang dimasak sempurna atau yang telah dibotolkan, makan makanan yang baru dimasak dan panas, kupas kulit buah-buahan terlebih dahulu sebelum dimakan dan elakkan dari makan sayur-sayuran mentah.
Sumber: HARIAN METRO