MANCHESTER: Selepas diberi amaran oleh Erik ten Hag pada persembahannya sebelum ini, Alejandro Garnacho menjaringkan gol dalam kemenangan Piala Liga ke atas Crystal Palace.
United meredakan tekanan ke atas pengendalinya, Ten Hag dengan menewaskan Palace 3-0 pada pusingan ketiga Piala Liga di Old Trafford. Sebelum itu mereka menang 1-0 ke atas Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Garnacho membuka jaringan untuk United di babak pertama selepas mendapat hantaran daripada Diogo Dalot. Casemiro dan Anthony Martial turut menemui sasaran.
Pemain 19 tahun itu memulakan permainan pada dua perlawanan pertama United musim ini, tetapi hanya kembali mengisi kesebelasan utama ketika menentang Palace.
“Anda dapat lihat di awal musim kali menurunkannya dan sumbangannya tidak cukup bagus. Dia perlu belajar yang apabila dia memainkan peranannya dalam bertahan, dia akan mempunyai peluang ketika menyerang.
“Ia bukan saja berkenaan ketika bola tidak berada di kaki. Tetapi saya mahu lihat seperti hari ini, dia memasuki kotak di posisi yang tepat untuk menjaringkan gol.
“Semua orang sukakannya, peminat sukakannya, pasukan menyukainya, saya juga menyukainya tetapi kami mahukan lebih daripadanya dan melonjakkan dirinya ke tahap lebih tinggi,” kata Ten Hag.
Ten Hag turut kagum dengan pemain Maghribi, Sofyan Amrabat yang mengisi posisi bek kira pada permulaan sulungnya untuk kelab, dan kemudian kembali ke posisi kegemarannya di bahagian tengah selepas rehat.
– BERITA HARIAN