Ambil Dos Penggalak Sebelum Februari Ini – KJ

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Semua penerima dos lengkap vaksin COVID-19, Sinovac yang berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada Februari tahun depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata individu yang berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin yang diambil sebelum ini juga perlu mendapatkan suntikan dos penggalak itu pada tempoh berkenaan.

“Sekiranya kumpulan individu yang dinyatakan masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas bulan Februari 2022, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap.

“Individu terbabit tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini hari ini.

Khairy juga berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega akan diaktifkan semula bagi mempercepatkan pemberian dos penggalak.

Beliau berkata, cadangan pengambilan dos penggalak bagi semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac dan individu berusia 60 tahun ke atas disahkan Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 – Booster (CITF-B) pada 8 Disember lalu.

Katanya, sehingga kini Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) meluluskan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dan vaksin AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak.

Berikutan itu, Khairy berkata, pihak Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) mengesyorkan dos penggalak diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun dan ke atas.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melalui Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE) mencadangkan supaya semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas tanpa mengira jenis vaksin siri primer perlu mengambil dos penggalak.

“Ia adalah bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap dan cadangan ini disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 – Booster (CITF-B) pada 8 Disember lalu,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, indikator utama penularan COVID-19 termasuk nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) menunjukkan penurunan pada minggu epidemik ke-49 sejak lima hingga 11 Disember lalu.

Beliau berkata, nilai Rt menurun kepada 0.93 pada tempoh itu selain kes baharu turut merekodkan penurunan sebanyak 3.5 peratus berbanding minggu epidemik ke-48.

“Indikator lain setakat ini terkawal termasuk penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) dan kemasukan ke hospital serta kematian.

“Namun saya dan KKM sedang melihat keadaan penularan varian Omicron yang sangat membimbangkan di negara lain,” katanya.

Beliau berkata, sejak WHO mengumumkan berhubung varian Omicron pada 24 November lalu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mula menjalankan ujian jujukan genomik.

“WHO juga mengeluarkan nasihat semua negara perlu bersiap sedia terhadap sistem kesihatan awam bagi menangani kes Pmicron yang dijangka lebih serius pada minggu akan datang,” katanya.

Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaludin Abu Bakar mengadakan sidang media ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini.
Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaludin Abu Bakar mengadakan sidang media ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini.

Sumber: Berita Harian