Ambil Masa Untuk ‘Me Time’ Dengan Allah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Apabila disebut mengenai ‘me time’, sudah tentu terbayang di fikiran anda waktu untuk bersendiri dan berehat daripada melakukan kerja atau tugasan sama ada tugas sebagai isteri dan ibu, tugas sebagai pekerja mahupun pelajar.

Waktu inilah anda akan memilih untuk melakukan apa yang digemari bersendiri seperti menata rias kuku, membaca buku sambil menghirup aroma kopi di mana-mana kafe mahupun duduk bersahaja di rumah tanpa melakukan apa-apa.

Ia tidak salah kerana itu adalah pilihan masing-masing untuk melegakan diri dan mengecas semula tenaga. Namun, pernahkah anda mendengar mengenai ‘me time’ dengan Allah?

Apa yang dimaksudkan ‘me time’ dengan Allah?

Ada sebuah istilah yang disebut sebagai uzlah, iaitu mengasingkan diri dari sesuatu atau menghindarkan diri sejenak dari hal-hal yang tidak penting untuk dilakukan.

Ia merupakan salah satu cara untuk meraih ketenangan hati serta melenyapkan kesedihan. Dalam masa yang sama, sebenarnya perkara yang paling ingin dicapai adalah untuk membina semula kekuatan diri bagi menghadapi segala ujian di dunia.

Maksud: “Hampir-hampir harta seseorang yang paling baik adalah kambing yang ia pelihara di puncak gunung dan lembah kerana ia lari mengasingkan diri demi menyelamatkan agamanya dari fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 3300)

Imam Ibnu Taimiyyah berkata: “Menjadi keperluan kepada seorang hamba itu untuk (memperuntukan) waktu supaya dia (dapat) bersendirian dengan dirinya (dan dapat memanfaatkannya) dengan berdoa, berzikir, mendirikan solat, berfikir, muhasabah diri serta memperbaiki jantung dirinya.” (Majmu’ Fatawa 1/426)

Apa Yang Boleh Dilakukan

Me time ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Dalam sehari, kita punya lima waktu yang wajib diperuntukan untuk bersama Allah.

Bezanya, adakah waktu tersebut benar-benar kita manfaatkannya? Ada dalam kalangan kita tergesa-gesa dalam menunaikan solat yang diwajibkan. Tidak cukup dengan itu, tiada doa atau doa sekadar berbasa-basi dengan Allah membuatkan peluang itu sia-sia sahaja.

Sedangkan, seharusnya apabila hati kita sudah meniatkan untuk berdiri di hadapanNya bagi menunaikan solat, ambil ruang itu untuk tinggalkan dunia sejenak. Nescaya hati anda akan merasai keunikan yang luar biasa.

Boleh juga peruntukan waktu lain seperti antara Maghrib dan Isyak, selepas Subuh mahupun pada waktu sepertiga malam, iaitu waktu qiamullail.

Ini semua boleh dilakukan berdasarkan kesesuaian diri sendiri. Oleh itu, ambillah masa tersebut untuk meluahkan dan memohon kesejahteraan mahupun muhasabah kembali kehidupan ini dengan mendekatkan diri dengan Allah.

Sumber: TZKRH.COM