Anak derhaka pukul ayah kerana RM10

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bachok: Seorang lelaki tidak berhati perut apabila memukul bapanya dengan kayu dan menyebabkan tangannya patah hanya kerana orang tua itu meminta wang RM10 untuk membeli makanan.

Kejadian berlaku di Kampung Dusun Durian, Bekelam di sini pada 11 pagi, 17 Oktober lalu yang menyebabkan mangsa berusia 62 tahun yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dirawat di Hospital Machang.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mangsa menerima sembilan jahitan di kepala selain patah pergelangan tangan kanan selepas dipukul bertubi-tubi oleh suspek berusia 34 tahun.

Katanya, suspek kemudian menghubungi adiknya berusia 32 tahun dan memaklumkan telah memukul ayah mereka.

“Lelaki itu yang ketika itu berada di Kedai Lalat, Kota Bharu segera pulang ke rumah dan mendapati bapanya cedera dan segera membawanya ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, mangsa pada mulanya enggan membuat laporan polis kerana bimbang suspek ditahan, namun adik suspek tampil melaporkan kejadian pada Khamis lalu, iaitu empat hari selepas kejadian kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Mohamad Ismail berkata, suspek ditahan pada 5 petang, beberapa jam selepas laporan diterima untuk siasatan mengikut Seksyen 326/ 326A Kanun Keseksaan.

“Polis juga merampas kayu digunakan suspek yang didapati telah patah dua dipercayai akibat pukulan berkenaan. Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkait dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga 28 Oktober.

Sumber: MY Metro