KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga M) lain sudah menandatangani kontrak bersama pemain import dan tempatan bagi membawa cabaran untuk musim 2021, namun Kelantan FC mengambil sikap berdiam diri.
Bagaimanapun pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menjelaskan apa yang boleh dikatakan adalah 90 peratus pemain skuad utama, Piala Presiden dan Belia adalah anak jati Kelantan.
Katanya, fokus utama adalah pembangunan akar umbi dan berharap DNA baharu The Red Warriors (TRW) yang dibawa jurulatih dari Itali, Marco Ragini mampu serasi dengan pemain.
“90 peratus pemain utama nanti…maksud saya kesebelasan utama Kelantan FC, Piala Presiden dan Belia, kebanyakan akan dibarisi pemain anak jati Kelantan, selain itu ada juga dari Terangganu, Kuala Lumpur dan sebagainya.
“Bagi pemain import kita akan guna empat orang dan mereka pemain yang mempunyai pengalaman dalam liga-liga utama.
“Pemain-pemain muda mudah dibentuk bak kata perpatah ‘melentur buluh biarlah dari rebung’,” katanya.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, mengikut perancangan awal senarai pemain Kelantan FC sepatutnya diperkenalkan bulan ini tetapi disebabkan pandemik Covid-19, ia terpaksa ditunda.
“Skuad penuh Kelantan FC sepatutnya diumumkan pada Januari tetapi semua tergendala kerana Covid-19, jadi kita tunda ke bulan depan,” ujarnya.
Sumber: Utusan