Kota Bharu: “Kalaulah dapat digantikan dengan nyawa saya, sudah pasti ma masih hidup tapi Allah sudah atur segalanya,” kata anak mangsa kemalangan maut di Kilometer 13, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, Shahri Azlin Ibrahim, 36.
Nik Mohd Shafiq Nik Mohd Sabani, 20, berkata perasaan kecewa dalam dirinya sukar dibendung kerana hampir sebulan tidak bersua dengan ibunya berikutan menetap bersama neneknya di Kampung Kubur Maras, di sini.
Menurutnya, dia memang berhasrat mahu berjumpa ibunya yang tinggal bersama bapa dan empat lagi adiknya di Pengkalan Chepa malam semalam, namun tidak kesampaian.
“Saya menjemput tiga adik untuk dibawa membeli-belah di pasar borong Wakaf Che Yeh dan kemudian mahu bersua dengan ma selepas menghantar mereka pulang.
“Bagaimanapun, ma sudah keluar dan tidak lama selepas itu saya menerima panggilan daripada ibu saudara memaklumkan ma terbabit dalam kemalangan jalan rasa lalu bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, saya dapati tubuh ma terbaring di atas rumput tepi jalan dan hati meronta untuk menatap wajahnya tapi tidak dibenarkan mendekati lokasi oleh pihak berkuasa,” katanya.
Nik Mohd Shafiq berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Maras, di sini, selepas urusan pengebumian jenazah selesai pada 3.40 petang tadi.
Menurutnya, ibunya yang sudah lama bekerja sebagai pendawai elektrik, namun dia berasa pelik kerana mangsa tidak memandu kereta seperti biasa sebaliknya membonceng motosikal rakan sekerja.
“Malam tadi mereka bersama seorang lagi pekerja menunggang motosikal ke Kok Lanas untuk menyambung semula bekalan elektrik di sebuah rumah.
“Ma yang saya kenali memang tidak akan menangguhkan kerja serta komited. Cuma hairan apabila ma tidak memandu kereta seperti biasa namun kami berlapang dada.
“Kami menganggap ia adalah asbab kepada ajalnya, cuma sangat sedih kerana empat adik masih belum dapat terima hakikat ma sudah tiada memandangkan mereka sangat rapat,” katanya.
Sambil menahan sebak, Nik Mohd Shafiq juga meluahkan rasa ralatnya kerana belum sempat membalas jasa ibunya termasuk memberi kesenangan daripada wang gajinya.
Menurutnya, pada masa sama, dia berharap pemandu kereta yang melanggar motosikal dibonceng ibunya tampil.
“Buat masa kini tiada apa yang diharapkan melainkan pelaku tampil memohon maaf kepada keluarga walaupun tindakan itu tidak akan mengembalikan ma tapi sekurang-kurangnya ada sedikit sifat berperikemanusiaan,” katanya.
Dalam kejadian jam 12.01 tengah malam tadi, Shahri Azlin yang membonceng motosikal Yamaha RXZ bersama rakan sekerjanya, Muhamad Safuan Mohd Shukri, 25, maut selepas dilanggar sebuah kenderaan dipercayai Perodua Myvi berwarna oren.
Sumber: My Metro