KUANTAN : Anak muda adalah generasi penentu masa hadapan negara dan golongan ini perlu dipersiapkan dari aspek sahsiah dan mental bagi memastikan generasi ini mampu mencorak masa depan negara kelak.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, harapan sama turut disuarakan bagi anak muda khususnya di negeri ini agar mencari dan mencungkil kualiti diri bagi persediaan.
“Kerajaan Negeri sendiri sentiasa prihatin dan menyediakan pelbagai keperluan kepada anak muda sama ada dari segi akademik yang disalurkan antaranya melalui Yayasan Pahang atau pun bagi program-program keusahawan.
“Kita berusaha untuk membentuk anak muda yang berkualiti kerana kalau nak lihat masa depan negara, kerajaan kena lihat pemuda dan pemudi yang ada hari ini,” katanya pada sesi secara langsung Program Apresiasi Anak Malaysia di platform Facebook Pahangku Media, malam ini.
Sesi siaran langsung yang dihoskan oleh selebriti Kamal Adli itu turut menyaksikan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy beramah mesra meraikan 58 orang anak muda Pahang yang lahir pada tarikh hari ini.
Sementara itu, menyentuh berkenaan kewujudan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), beliau berkata badan sukarelawan ini dianggotai oleh anak-anak muda di negeri Pahang.
“Alhamdulillah, MTSP berfungsi secara sangat baik, bila ditubuhkan kebetulan negeri ini dilanda banjir dan juga dilanda pandemik. Mereka inilah yang terkehadapan selain frontliner terlibat secara langsung yang membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19.
“Negeri Pahang sangat komited dalam mengekang penularan wabak, jadi kita terpaksa adakan PKP, PKPD dan sebagainya. Penduduk terlibat kena kurung di rumah masing-masing dan anak-anak muda dari MTSP ini lah yang turut datang membantu mengagihkan bantuan Kerajaan Negeri bagi meringankan beban,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA