Anak Orang Asli, Jome Cheng, berjaya lanjut pengajian dalam bidang kejuruteraan di Jepun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Anak Orang Asli dari suku kaum Jakun Kampung Orang Asli Sungai Soi di Kuantan, Pahang, Jome Cheng membuktikan kemampuannya apabila berjaya menempatkan diri di sebuah universiti terkemuka di Jepun dalam bidang kejuruteraan.

Perkara itu dikongsikan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang menerima kunjungan Jome bersama ibunya serta pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang di pejabat beliau.

“Adik Jome adalah antara pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

“Saya faham cabaran yang dilalui pelajar ini bukanlah mudah. Namun saya bangga kerana adik ini sudah membuktikan bahawa kejayaan hadir kepada mereka yang tidak pernah mengalah,” menurutnya menerusi hantaran di laman Facebook.

Abdul Rahman yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Jome juga berharap agar Jome terus cemerlang dan kembali ke tanah air untuk menabur bakti kepada masyarakat Orang Asli.

“Semoga terus cemerlang di mana saja berada dan sentiasa memberi inspirasi kepada sesiapa pun dan apabila tiba masanya nanti, pulanglah ke tanah air menabur bakti kepada negara tercinta dan kepada masyarakat Orang Asli khasnya,” katanya.

Sumber: Astro Awani