‘Anak Saya Bukan Lelaki, Dia Wanita Sejati’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BAPA kepada petinju Algeria, Imane Khelif mempertahankan anak perempuannya itu selepas didakwa menyertai acara tinju wanita Sukan Olimpik Paris sebagai lelaki.

Imane yang merupakan calon pingat Olimpik menjadi tajuk utama antarabangsa apabila lawannya dari Itali, Angela Carini menarik diri hanya 46 saat selepas perlawanan mereka bermula.

Atlet berusia 25 tahun itu, adalah salah seorang daripada dua atlet yang telah dibatalkan penyertaan pada Kejohanan Dunia tahun lalu kerana tidak memenuhi kriteria kelayakan jantina.

Susulan kontroversi itu, petinju wanita dan pejuang hak wanita telah bersuara menyokong Carini.

Namun, bapa Imane, Amar menyeru anak perempuannya untuk membuktikan kritikan yang diterimanya adalah salah dan memenangi pingat emas untuk negaranya.

“Imane adalah seorang gadis yang mencintai sukan sejak dia berusia enam tahun lagi, dia dahulu bermain bola sepak.

“Kritikan dan khabar angin ini bertujuan untuk menggoyahkan Imane, mereka tidak mahu dia menjadi juara dunia.

“Saya memberitahunya untuk buktikan mereka salah di gelanggang dan saya harap dia akan menghormati Algeria dan negara-negara Arab serta memenangi pingat emas.

“Dia adalah contoh teladan kami dan kami mahu menjadi sepertinya dan mengharumkan nama Algeria serta bandar Tiaret,” kata Amar penuh semangat.

– SINAR HARIAN