Anak Sedar Bekalan Elektrik Terputus Sebelum Rumah Hangus Terbakar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MERSING: Tindakan seorang anak yang menyedari bekalan elektrik di rumah terputus berjaya menyelamatkan nyawa kedua-dua ibu bapanya dalam kejadian kebakaran berlaku di Jalan Gading Gajah 2, Kampung Gajah Mati, di sini malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 3.47 pagi.

Katanya seramai sembilan anggota dari BBP Mersing dan enam dari BBP Endau dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian itu turut menyebabkan sebuah kereta dan enam buah motosikal musnah.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai jenis separuh kekal yang terbakar 80 peratus. Dalam kejadian itu turut memusnahkan sebuah kereta jenis Honda Stream dan enam buah motosikal pelbagai jenis di mana dua daripadanya adalah jenis Yamaha dan Modenas Kris.

“Difahamkan ketika kejadian, terdapat tiga orang berada di rumah tersebut iaitu seorang anak dan ibu bapanya. Kita dimaklumkan anaknya dari Terengganu pulang ke rumah untuk menghantar ayahnya yang uzur untuk rawatan ke hospital pada pagi ini.

“Anak lelaki pasangan itu memberitahu, sebelum kebakaran berlaku, kediaman mereka mengalami masalah terputus bekalan elektrik sebelum mengesan kebakaran dipercayai datang dari kawasan dapur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, anak lelaki mangsa cuba menyelamatkan bapanya yang uzur dan ibunya keluar dari rumah sebelum mahu menyelamatkan kereta dengan mengambil kunci di dalam rumah, namun, tidak berjaya apabila api marak dengan cepat.

Menurutnya, pasukan operasi bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan satu aliran 1100 kaki satu breaching serta dua pancutan dari jentera Mersing dan Endau menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran secara ulang alik hingga api padam sepenuhnya.

Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian serta anggaran kerugian.

Jelasnya operasi ditamatkan pada pukul 8.28 pagi.

Sumber: UTUSAN