Ancaman Binatang Berbisa Punca Mangsa Banjir Berpindah Ke PPS

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH: Mangsa banjir di daerah ini mengambil keputusan berpindah awal ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kehadiran binatang berbisa seperti ular.

Mangsa banjir, Mohd Fadhli Hisham Yusof, 35, berkata dia membawa isterinya, Mi Hasanah Daud, 38, yang masih berpantang 29 hari bersama bayinya, Mohamad Fadlan, dan tiga anak.

Katanya, ini kerana rumahnya sudah dimasuki dua ekor ular sejak air naik awal pagi tadi.

“Bimbang keselamatan keluarga, saya terus bawa ke PPS. Isteri yang masih berpantang terus harung air kira-kira 0.5 meter,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu, di sini, hari ini.

Bagi Rosli Harun, 46, dia dan keluarga mula bersiap jam 1 pagi tadi selepas rumah dinaiki air lebih satu meter.

Katanya, air naik terlalu cepat selepas hujan tidak berhenti sejak malam tadi.

Bagi Maenyah Daud, 47, selain kehadiran binatang berbisa seperti ular, dia ke PPS kerana bimbang air semakin meningkat naik.

“Kami tinggal empat beranak dan bimbang kalau binatang bisa masuk, air juga deras berbanding tahun lalu, jadi kami terus ke PPS,” katanya.

Setakat jam 3.30 petang ini, seramai 23 keluarga membabitkan 89 orang mendaftar di PPS SK Dalam Rhu, peningkatan mendadak daripada empat keluarga yang melaporkan diri pada jam 9 pagi tadi, membabitkan 17 orang.

– BERITA HARIAN