KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melancarkan misi menghantar bantuan makanan bagi membantu penduduk Orang Asli di Pos Bihai serta Pos Belatim, Gua Musang yang terjejas akibat ancaman harimau.
Sumbangan makanan dengan kos sebanyak RM73,000 itu akan diserahkan kepada 304 isi rumah di Pos Bihai manakala 185 pula di Pos Belatim.
Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia bagi meringankan beban masyarakat Orang Asli di situ yang tidak dapat keluar bekerja disebabkan takut dengan ancaman harimau yang merayau di penempatan mereka lebih sebulan lalu.
“MAIK menerima permohonan bantuan bakul makanan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Kelantan (JAKOA) dan ia diluluskan sekali gus membuktikan kami sentiasa prihatin dan tidak sesekali meminggirkan masyarakat Orang Asli.
“MAIK dengan kerjasama pihak berkaitan akan memastikan bantuan bakul makanan ini sampai dengan segera,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan berkata, difahamkan terdapat tiga ekor yang dikenalpasti berkeliaran di penempatan dua pos itu.
Beliau berkata, dalam tempoh itu juga pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkampung dan Sabtu lalu, seekor harimau sudah berjaya ditangkap.
“Berbaki dua ekor yang menjadi ancaman kepada masyarakat orang asli di dua pos itu.
“Saya juga dimaklumkan sebelum ini seekor anjing sudah menjadi mangsa harimau dan disebabkan itu operasi menangkap haiwan liar terbabit digerakkan kerana bimbang akan keselamatan penduduk.
“Kami berterima kasih dengan sumbangan bakul makanan daripada MAIK yang sentiasa prihatin dan diharapkan ia dapat meringankan beban penduduk yang rata-ratanya bekerja sebagai pencari hasil hutan namun sekian lama tidak dapat keluar kerana ancaman haiwan liar itu,” katanya.
– BERITA HARIAN