Ancaman Harimau, Sesi Persekolahan Secara Bersemuka SK Bihai Ditangguh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Gua Musang: Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, secara bersemuka yang sepatutnya bermula semalam, terpaksa ditangguhkan berikutan ancaman serangan harimau.

Sekolah berkenaan dikatakan mengambil pendekatan untuk meneruskan sesi pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PdPR).

Berdasarkan surat pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang, memaklumkan pembukaan sekolah secara bersemuka ditangguhkan dan diteruskan secara PdPR.

Menurut notis itu, pembelajaran menerusi PdPR diteruskan sehingga pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memberi jaminan keselamatan ancaman serangan harimau sudah berakhir.

“Sehubungan itu, guru SK Bihai dikehendaki melapor diri dan menyediakan modul PdPR di beberapa sekolah di sekitar bandar Gua Musang,” katanya menerusi notis berkenaan.

Dalam kejadian Jumaat lalu, lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Anek Along ketika sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah, pada 9.10 pagi.

Susulan serangan berkenaan, Perhilitan Kelantan melancarkan pemantauan dan kawalan di perkampungan berkenaan selain turut memasang dua perangkap berkamera iaitu di Kampung Tendrik dan Kampung Hak.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani dilaporkan berkata, setakat ini, pihaknya masih gagal menangkap dua harimau yang dilaporkan berkeliaran di Kampung Remau, Pos Bihai pada Disember lalu.

Sementara itu, usaha media untuk mendapatkan pengesahan daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri setakat ini masih gagal kerana panggilan tidak dijawab.

Sumber: My Metro