Ancaman Si Belang, Penduduk Kampung Chabang Perlu Waspada

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Penduduk di sekitar Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman diminta untuk sentiasa berwasapada dan berhati-hati ekoran harimau belang yang didakwa berkeliaran dan masih belum memasuki perangkap walaupun ianya sudah dipasang sejak tiga minggu lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pemantauan terus telah dilakukan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin di kawasan tersebut.

“Jika memerlukan penduduk melalui kawasan yang menjadi laluan kepada harimau itu berkeliaran khususnya pada awal pagi atau lewat petang, pastikan mereka membawa visel atau alat mengeluarkan bunyi kuat,”

“Ini boleh digunakan jika diri terancam dan ada tanda-tanda harimau akan menyerang apabila terserempak haiwan ini. Jika tidak, terus beredar dari kawasan itu dan segera maklumkan kepada Perhilitan,” tambahnya lagi ketika dihubungi.

Menurut beliau juga, harimau kebiasaannya akan mengelak dari berhadapan dengan manusia dan hanya akan menyerang sekiranya sungguh kelaparan.

Loo Kean Seong turut menasihatkan dan mengingatkan orang ramai supaya menjauhkan diri jika terjumpa dengan anak harimau kerana kebiasaannya ibu harimau akan ada di kawasan berhampiran dan ia akan melindungi anak mereka. Maka, kemungkinan ibu harimau akan bertindak lebih ganas.

“Semua informasi ini sangat penting untuk mendidik masyarakat cara untuk mengelak konflik atau apa yang perlu dilakukan jika terserempak dengan harimau kerana habitat semula jadinya ada di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal telah mendapati,  harimau belang tersebut dipercayai haiwan sama yang ditemui di Kampung Santong, Paka, Dungun sebelum ini dan disyaki datang dari hutan simpan berhampiran.

Sumber: TRDI