KUALA LUMPUR: Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada suku ketiga 2023 meningkat 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku kedua dipacu oleh sektor perkhidmatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sementara itu, ia berkata prestasi sektor pembinaan kekal sederhana dan sektor pertanian menunjukkan pemulihan sedikit.
“Namun begitu, sektor perlombongan dan pengkuarian serta pembuatan menguncup pada suku ini. Oleh itu, prestasi keseluruhan bagi tiga suku pertama 2023 menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9 peratus (suku ketiga 2022: 9.2 peratus), dengan pertumbuhan ekonomi sederhana pada suku ketiga,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan.
Dari segi prestasi sektoral, sektor perkhidmatan meningkat 5.1 peratus (suku kedua 2023: 4.7 peratus) pada suku ketiga 2023, disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan dan perkhidmatan perniagaan.
Selain itu, sektor pembinaan bertumbuh 5.8 peratus (suku kedua 2023: 6.2 peratus) pada suku ketiga 2023. Sektor pertanian meningkat secara marginal 0.8 peratus (suku kedua 2023: -1.1 peratus) pada suku ini, disumbangkan oleh pengeluaran yang lebih baik dalam subsektor kelapa sawit.
Bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian menyusut marginal 0.1 peratus (suku kedua 2023: -2.3 peratus), disumbang oleh penurunan pengeluaran dalam subsektor gas asli.
Sektor pembuatan turut merekodkan penurunan marginal sebanyak 0.1 peratus (suku kedua 2023: 0.1 peratus) pada suku tahun ini, dipengaruhi oleh pembuatan berasaskan produk elektrik, elektronik dan optikal; dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik berikutan permintaan luar yang lebih lemah.
DOSM telah memperkenalkan inisiatif baharu dengan menerbitkan anggaran KDNK awalan suku tahunan.
Anggaran KDNK awalan suku tahunan ini dibangunkan untuk memenuhi permintaan statistik makroekonomi yang bertepatan masa dan selaras dengan amalan terbaik negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Singapura.
— BERNAMA