Anggota Hazmat dan bomba Kelantan sudah kebumi 649 jenazah pesakit Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Jumlah kematian yang semakin meningkat akibat Covid-19 kebelakangan ini menyebabkan tugas pengebumian yang sebelum ini dilaksanakan oleh anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) terpaksa diserahkan kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Zainal Madasin berkata, keanggotaan Hazmat di negeri ini adalah seramai 30 orang dan sudah tidak mampu menjalankan proses pengebumian mangsa Covid-19 yang semakin meningkat malah mencecah lebih 10 kes sehari.

Menurut beliau, sehingga kini, pihaknya sudah menguruskan pengebumian 649 mangsa Covid-19 dan angka itu dilihat semakin meningkat dan untuk bulan ini sahaja, ia mencecah 223 proses pengebumian.

“Jika sebelum ini memang tugasan pengebumian dijalankan oleh Hazmat namun sejak dua bulan kebelakangan ini, tugasan itu sudah mula dilakukan oleh anggota balai dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang sama.

“Setiap hari akan ada kematian membabitkan pandemik ini dan setakat ini, paling banyak proses pengebumian yang dijalankan adalah 19 mangsa dalam satu hari,” katanya kepada media di sini.

Zainal berkata, Kota Bharu mencatatkan proses pengebumian paling tinggi iaitu 212 diikuti Pasir Mas (104) dan 82 di Tumpat.

Beliau berkata, untuk setiap penugasan proses pengebumian, 10 anggota Hazmat akan terbabit dan kini, penugasan mereka hanya membabitkan kawasan sekitar manakala untuk lokasi yang jauh seperti Gua Musang, ia diserahkan kepada anggota BBP.

ZAINAL Madasin hadir melengkapkan persediaan banjir dan latihan Pengendalian Pemanduan Bot Menyelamat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZAINAL Madasin hadir melengkapkan persediaan banjir dan latihan Pengendalian Pemanduan Bot Menyelamat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Anggota BBP sudah mempunyai asas dalam tugasan ini namun jika berlaku kes terpencil, anggota Hazmat akan membantu walaupun membabitkan lokasi jauh.

“Selain bomba, penugasan untuk proses pengebumian juga membabitkan pihak lain termasuk Pejabat Kesihatan Daerah serta waris mangsa yang mempercepatkan lagi urusan itu,” katanya.

Untuk proses sanitasi pula, pihaknya sudah menjalankan 3,082 sanitasi sejak tahun lalu dengan premis kerajaan merekodkan jumlah terbesar iaitu 1,627 sanitasi.

Terdahulu, beliau meninjau latihan pengendalian pemanduan bot menyelamat selama tiga hari di sekitar sungai di Pengkalan Kubor dan Sungai Kelantan membabitkan 15 peserta.

Latihan berakhir hari ini disertai sembilan BBP iaitu Kota Bharu, Tok Bali, Tumpat, Bachok, Pengkalan Kubor, Ketereh, Pasir Mas, Darul Naim dan Tanah Merah.

Sumber: My Metro