Anggota Penguatkuasa Pemantuan SOP PKPP Ditambah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kekuatan penugasan pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) telah ditambah bagi memantapkan lagi usaha permantauan dan pemeriksaan di lokasi awam dan tumpuan ramai.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, selain itu, penugasan sekatan jalan raya (SJR) turut dilakukan meliputi sempadan daerah dan negeri.

“Pertambahan anggota ini dapat melicinkan usaha pemantauan yang dilakukan setiap hari malah memberi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

“Tindakan kompaun sentiasa menanti mereka yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan,”

Sementara itu, Dato’ Sri Abd Jalil berkata, sebanyak 26 buah premis dan dua individu dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam pemantauan yang dilakukan semalam.

Menurutnya, sebanyak 86 buah pasukan melakukan 1574 pemantauan di kawasan tumpuan awam termasuk tempat riadah, terminal bas dan teksi serta pasar awam atau pasar tani.

“Pemantauan dan pemeriksaan turut dilakukan di premis perniagaan, kilang, bank, tempat ibadah serta tapak pembinaan di sekitar negeri Pahang.

“Nasihat dan amaran juga telah diberikan kepada orang awam agar terus mengamalkan pemakaian pelitup separuh muka dan mematuhi penjarakan fizikal,”

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 1,362 orang telah ditahan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac sehingga PKPP yang berlangsung sehingga semalam.

“Seramai 586 orang telah dituduh di mahkamah sepanjang tempoh sama dan dikenakan denda di atas keingkaran mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA