JAKARTA: Angka kematian akibat letusan Gunung Marapi di wilayah Sumatera Barat di Indonesia meningkat kepada 23, kesemuanya pendaki, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan polis pada Rabu.
Mereka adalah antara 75 orang yang mendaftar untuk mendaki Marapi apabila gunung berapi itu tiba-tiba meletus pada petang Ahad, memuntahkan gas panas dan batu ke udara.
Ketua Polis Sumatera Barat, Suharyono berkata 52 pendaki lain diselamatkan dari destinasi popular bagi penggemar aktiviti luar.
Beliau berkata sepasukan 300 anggota daripada pelbagai agensi masih meneruskan pencarian mereka yang mungkin mendaki gunung itu tetapi tidak mendaftar.
“Daripada 75 pendaki yang direkodkan, 52 berjaya diselamatkan termasuk yang mengalami kecederaan ringan dan serius. Sejumlah 23 disahkan meninggal dunia,” kata Suharyono pada sidang akhbar.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan angka kematian mungkin meningkat.
Gunung Marapi adalah antara gunung berapi paling aktif di Indonesia.
Kepulauan Indonesia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, kawasan lingkaran aktivti seismik yang mengelilingi Lautan Pasifik.
Sebelum Ahad, letusan besar terakhir gunung berapi itu adalah pada 2018. Letusan paling dahsyat berlaku pada 1979, dengan lebih 60 orang terbunuh.
— BERNAMA