Cotabato: Sehingga kini, 45 orang disahkan maut dan puluhan lagi cedera dalam nahas pesawat tentera Filipina di selatan negara itu, semalam.
Antara yang terkorban adalah 42 anggota tentera dan tiga orang awam.
Mejar Jeneral Komander Pasukan Petugas Khas Bersama-Sulu, Mejar Jeneral William Gonzales berkata, keseluruhan hampir 100 petugas, kebanyakannya tentera yang baru menamatkan latihan berada dalam pesawat C-130 Hercules itu ketika ia cuba mendarat di kepulauan Jolo di Sulu.
Menurutnya, ada anggota yang sempat terjun daripada pesawat sebelum ia terhempas dan meletup.
“Ini adalah hari yang menyedihkan tetapi kita harus tabah. Kami meminta seluruh negara bersama-sama mendoakan mereka yang cedera dan gugur dalam tragedi ini,” kata Gonzales dalam kenyataan.
Tragedi itu disifatkan yang terburuk pernah pernah dialami tentera Filipina.
Setakat ini, 49 tentera dan empat orang awam yang cedera dan menerima rawatan di hospital, manakala lima anggota masih hilang.
Ketua Komando Mindanao Barat, Leftenan Jeneral Corletan Vinluan memberitahu AFP, laporan awal menyebut pesawat itu terlepas jalur pendaratan dan terputus dua.
Jurucakap Tentera Udara Filipina, Leftenan Kolonel Maynard Mariano pula berkata, punca nahas masih dalam siasatan, sementara Mejar Jeneral Edgard Arevalo memberitahu radio DZBB yang nahas itu disiasat sebagai kemalangan, berbanding serangan.
Sumber: My Metro