Antara Bodek Dan Ikhlas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Setiap puja dan puji itu selayaknya hanya untuk Allah SWT Yang Maha Esa serta tiada bagi-Nya sebarang kekurangan dan kelemahan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Fatihah, ayat 2:

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعٰلَمِيْنَۙ

“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”.

Sebagai seorang Muslim, kita haruslah sentiasa mengingati Allah SWT melalui zikir. Antara yang kerap kita amalkan ialah bacaan zikir selepas solat fardhu sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim, iaitu bacaan “Alhamdulillah” yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah” dibaca sebanyak 33 kali.

Inilah antara bukti jelas betapa kita digalakkan untuk sentiasa mengingati Allah SWT serta mengakui bahawa pujian yang hakiki selayaknya hanya ditujukan kepada-Nya.

Sudah menjadi kebiasaan dan tabiat manusia yang suka akan pujian kerana ia merupakan ungkapan sedap untuk didengar oleh telinga dan dirasai dalam jiwa. Ada juga dalam kalangan manusia yang mencari-cari sumber untuk mendapatkan pujian daripada manusia lain.

Dalam menangani hal ini, setiap daripada kita perlu berwaspada atas setiap perbuatan yang dilakukan sama ada dalam memberi pujian mahupun menerima pujian.

Bagi orang yang memberi pujian, perlu difahami bahawa setiap pujian yang diberikan itu mestilah mengikut kadarnya. Jangan kita memuji seseorang secara berlebihan, tambahan pula jika ada yang memberi pujian disebabkan tujuan tertentu. Seperti kerana ingin mengambil hati orang yang dipuji.

Lantas pujian pun dicipta dan diungkapkan secara melampau dan keterlaluan. Sesungguhnya perbuatan ini dilarang oleh Islam. “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menabur tanah ke wajah-wajah orang yang berlebihan dalam memuji”. (Hadis Riwayat Muslim)

Sekiranya pujian yang ingin diberikan itu pada kadar yang sepatutnya dan dengan tujuan kebaikan seperti pujian seorang ketua kepada anak buahnya. Yang bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan mutu kerja orang lain, maka ia dibenarkan dan tidak termasuk dalam kategori pujian yang dilarang.

Al-Khattabi dalam Ma’alim As-Sunan menjelaskan hal ini dengan berkata: “Sesiapa yang memuji seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan tujuan untuk menggalakkan lagi kerja baiknya dan mendorong orang lain berbuat yang sama sepertinya, maka dia tidak termasuk dalam kategori “maddah” iaitu (gelaran) pemuji terkeji”.

Untuk orang yang menerima pujian, adalah amat baik sekiranya setiap pujian yang diterima itu dikembalikan kepada Allah SWT iaitu yang selayaknya menerima puja dan puji. Ucapkanlah “Alhamdulillah” atas setiap pujian yang diterima. Malah kita dianjurkan untuk memohon kepada Allah SWT agar pujian yang diterima itu tidak menjadikan kita insan yang jauh daripada Nya.

Rasulullah SAW mengajar satu doa kepada sahabat bagi memelihara diri daripada kesan buruk pujian: “Ya Allah, janganlah engkau menghukum aku kerana apa yang disebut (dipuji) oleh mereka dan ampuni aku berkaitan perkara yang mereka tidak ketahui dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Islam amat mementingkan hubungan baik sesama manusia. Dalam hal memberi dan menerima pujian, setiap orang Islam perlu berhati-hati dan bijak dalam menanganinya. Jika ia tidak dapat ditangani mengikut cara-cara yang ditetapkan, maka ia akan menyemarakkan perkara buruk (mazmumah) dalam diri individu dan masyarakat.

Pujian yang berlebihan akan menyebabkan diri yang menerima pujian menjadi bangga diri dan merasakan dirinya sahaja yang terbaik. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:

فَلَا تُزَكُّوْٓا اَنْفُسَكُمْۗ

“Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci”. (Surah An-Najm, ayat 32)

Pujian boleh mencetuskan fenomena menunjuk-nunjuk dalam melakukan kebaikan dengan harapan ingin mendapat pujian manusia. Sufyan bin ‘Uyainah pernah berkata: “Para ulama menyatakan bahawa pujian orang tidak akan menipu orang yang tahu diri (tahu bahawa dirinya tidak sebaik itu dan banyak aib serta dosa)”.

Pujian juga boleh mencacatkan nilai ikhlas kepada Allah SWT dalam setiap amal perbuatan baik yang dilaksanakan. Orang yang ikhlas dalam melakukan amal ibadah termasuk dalam kalangan orang yang bertaqwa.

Golongan muttaqin (bertakwa) melakukan amal ibadah hanya untuk Allah SWT, bukannya untuk mendapat pujian daripada manusia. Amalan golongan ini akan diterima oleh Allah SWT sebagaimana dijelaskan dalam Al-Quran:

اِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللّٰهُ مِنَ الْمُتَّقِيْنَ

“Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang bertakwa”. (Surah Al-Ma’idah, ayat 27)

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:

اِذَا جَاۤءَكَ الْمُنٰفِقُوْنَ قَالُوْا نَشْهَدُ اِنَّكَ لَرَسُوْلُ اللّٰهِ ۘوَاللّٰهُ يَعْلَمُ اِنَّكَ لَرَسُوْلُهٗ ۗوَاللّٰهُ يَشْهَدُ اِنَّ الْمُنٰفِقِيْنَ لَكٰذِبُوْنَۚ

“Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta”. (Surah Al-Munafiqun, ayat 1).

Marilah sama-sama kita berusaha menjadi insan yang memberi dan menerima pujian pada kadarnya serta dijauhkan daripada menjadi seorang yang dahagakan pujian daripada sesama manusia. Lebih penting lagi, kita haruslah berusaha agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang suka memuji diri sendiri.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran:

اَلَمْ تَرَ اِلَى الَّذِيْنَ يُزَكُّوْنَ اَنْفُسَهُمْ ۗ بَلِ اللّٰهُ يُزَكِّيْ مَنْ يَّشَاۤءُ وَلَا يُظْلَمُوْنَ فَتِيْلًا

“Tidakkah engkau perhatikan (wahai Muhammad) kepada golongan yang membersihkan (memuji) diri sendiri ? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikit pun”. (Surah An-Nisa’, ayat 49)

Sumber : HARIAN METRO